Polis, KPDN Rampas 5,250 Liter Diesel Dipercayai Diseleweng
KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas kira-kira 5,250 liter diesel dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah premis industri di Senadin, Miri semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 10 pagi itu, dua lelaki tempatan berumur 40 dan 49 tahun turut ditahan.
“Selain diesel itu, hasil pemeriksaan di premis terbabit menemukan sebuah lori tangki berkapasiti 5,000 liter, sebuah tangki skid berkapasiti 10,000 liter serta sejumlah peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti penyelewengan.
“Keseluruhan rampasan termasuk lori tangki itu bernilai RM94,787.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati premis itu dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel yang dibeli daripada pemandu kenderaan berat di sekitar Miri sebelum disimpan dan dijual semula kepada pembeli dalam kalangan pemain industri di kawasan itu.
Mohd Farhan berkata pemilik premis itu memiliki permit KPDN bagi pembelian dan penggunaan diesel tidak bersubsidi dengan kapasiti simpanan hingga 10,000 liter, namun kemudahan itu dipercayai telah disalahgunakan.
Beliau berkata kes diserahkan kepada pihak KPDN Cawangan Miri untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu
- Pelajar Wanita Warga Asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza