23/06/2026 11:59 PM

PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu

VILNIUS, 23 Jun (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Lithuania Inga Ruginiene mengumumkan pembubaran kerajaan pimpinannya pada Selasa, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan pentadbiran baharu susulan perubahan dalam gabungan pemerintah, lapor Xinhua.

Susulan peletakan jawatan itu, Presiden Gitanas Nauseda mempunyai tempoh 15 hari untuk mencalonkan seorang perdana menteri baharu yang kemudiannya perlu mendapat kelulusan daripada Seimas, iaitu parlimen negara itu.

Pengerusi parti pemerintah, Parti Demokratik Sosial Lithuania iaitu Mindaugas Sinkevicius, dijangka menerima pencalonan itu. Jika disahkan oleh parlimen, beliau akan diberikan tempoh 15 hari untuk membentuk Kabinet serta membentangkan program dasar kerajaan baharu. Beliau kemudian mempunyai tambahan 15 hari lagi untuk mengemukakan senarai penuh anggota Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Gabungan baharu itu bakal menjadi pakatan pemerintah ketiga yang dibentuk oleh Parti Demokratik Sosial sejak Pilihan Raya Parlimen pada penghujung 2024. Kerajaan yang meletak jawatan itu mula memegang tampuk pemerintahan pada Ogos tahun lepas selepas peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Gintautas Paluckas.

Sementara itu, Presiden Nauseda secara rasmi menerima peletakan jawatan kerajaan berkenaan dan meminta Kabinet sedia ada terus menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Kabinet yang bakal berundur itu mengadakan mesyuarat terakhirnya pada Selasa dan sebulat suara meluluskan resolusi untuk meletak jawatan. Pada mesyuarat itu, Ruginiene berkata kerajaan pimpinannya mempunyai banyak pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pentadbiran.

-- BERNAMA-XINHUA

Kata kunci