Maxis, BSTP Pertingkat Program GenAI eKelas Di 400 Sekolah
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Maxis dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan Program GenAI Maxis eKelas 2026 yang dipertingkatkan untuk memperkasakan lebih 32,000 murid dan guru daripada 400 sekolah di seluruh negara dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI).
Program itu, yang memasuki tahun kedua meneruskan momentum program rintis pada 2025 yang berjaya melatih lebih 22,000 murid dan guru serta mencatat peningkatan skor median sebanyak 80 peratus dalam pemahaman mereka terhadap AI.
Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan program 2026 diteruskan dengan model dua cara berbeza melalui modul direka khusus untuk murid dan guru serta disokong oleh jurulatih dilantik dalam kalangan guru.
Program itu turut dipertingkatkan dengan modul projek pengekodan santai (vibe coding) yang mencabar murid untuk menguasai kemahiran kejuruteraan prompt yang lebih maju dengan menggunakan alat GenAI untuk penghasilan kandungan digital dan penyelesaian masalah secara aktif.
Program itu turut diperkukuh menerusi ekosistem rakan kerjasama yang lebih meluas termasuk Canva Education, Google for Education dan Schola by Creador Foundation yang menyumbang kandungan serta sokongan bagi alat GenAI.
Tahun kedua program itu dilancarkan secara rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul di sini melibatkan 80 murid tingkatan dua hingga tingkatan lima sebagai antara kumpulan terawal mengikuti modul baharu tersebut.
Pengarah BSTP Aniza Kamarulzaman berkata inisiatif itu sebahagian daripada usaha untuk melengkapkan murid dengan kemahiran digital yang lebih maju selain pemerkasaan kemahiran guru membolehkan mereka menerapkan AI dengan lebih berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Bagi memastikan murid kita mampu menerajui masa depan digital, mereka perlu dilengkapi dengan lebih daripada sekadar pengetahuan asas. Modul tahun kedua ini memenuhi keperluan itu dengan memupuk kemahiran digital lebih maju yang diperlukan untuk melahirkan generasi benar-benar berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata kerjasama erat dengan BSTP membolehkan program itu dipertingkatkan ke tahap seterusnya.
“Selaras dengan kepercayaan kami bahawa ‘Esok Bermula Hari Ini’, kami kini melangkaui pengetahuan asas kepada kemahiran penghasilan praktikal. Ini membolehkan murid menjadi inovator yang akan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan digital,” katanya.
Maxis eKelas ialah program jangkauan komuniti utama syarikat, iaitu satu inisiatif pembelajaran digital selepas waktu sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik murid tahun empat hingga tingkatan lima, terutamanya dalam golongan yang kurang berkemampuan.
Program GenAI Maxis eKelas ialah inisiatif utama yang dilaksanakan menerusi bengkel bersemuka dengan kerjasama BSTP bagi memupuk kemahiran AI yang kritikal dalam kalangan murid dan guru di seluruh negara.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu
- Pelajar Wanita Warga Asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza