Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri Ke-149 Tumpu Pemulihan Ekonomi - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Usaha memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat menjadi antara fokus Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, hari ini.
Anwar berkata mesyuarat itu turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberikan kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta meningkatkan risiko cuaca panas melampau dan jerebu.
“Penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat, di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu memberikan tumpuan kepada pelbagai inisiatif kerajaan ke arah memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan cabaran serta ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat yang memberikan kesan kepada ekonomi global.
Anwar berkata semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat itu akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Pelajar Wanita Warga asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza
- Malaysia Airlines Lakukan Pelarasan Sementara Operasi Di Terminal Udara KL CAT