Sunway Peroleh Tapak Kediaman S$750.57 Juta Di Singapura
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Sunway Bhd menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, SMCL Haven 3 Pte Ltd (SMCLH3), memperoleh tapak pembangunan kediaman bernilai S$750.57 juta (RM2.4 bilion) di River Valley Green, Singapura, melalui bidaan bersama CSC Land Group (Singapore) Pte Ltd.
CSC merupakan syarikat yang diperbadankan di Singapura dan terlibat terutamanya dalam pembangunan hartanah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway memaklumkan bahawa Urban Redevelopment Authority of Singapore telah menganugerahkan lot tanah seluas 1.15 hektar itu, yang mempunyai tempoh pajakan selama 99 tahun, kepada SMCLH3 dan CSC susulan bidaan yang berjaya.
Menurut Sunway, SMCLH3 dan CSC akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) bagi melaksanakan pembangunan projek berkenaan.
“SMCLH3 dan CSC akan menubuhkan sebuah syarikat JV dengan pegangan ekuiti masing-masing pada nisbah 60:40, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Sunway memaklumkan projek yang dicadangkan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31, Dis, 2029.
Menyentuh mengenai risiko, Sunway memaklumkan projek tersebut tertakluk kepada risiko lazim pembangunan hartanah dan pembinaan, termasuk turun naik harga bahan mentah, pergerakan kadar faedah serta kitaran pasaran hartanah.
“Bagaimanapun, risiko ini dijangka dapat dikurangkan melalui pengalaman serta rekod prestasi Kumpulan Sunway dan CSC dalam pembangunan hartanah,” menurut syarikat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu
- Pelajar Wanita Warga Asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza