Perancis Benam Iraq 3-0 Selepas Perlawanan Disambung Semula
WASHINGTON, 23 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perancis meneruskan aksi cemerlang menewaskan Iraq 3-0 dalam saingan Piala Dunia FIFA 2026 pada Isnin selepas perlawanan tertangguh lebih dua jam akibat cuaca buruk di Philadelphia, lapor Anadolu Ajansi.
FIFA menghentikan perlawanan sebaik tamat babak pertama atas faktor keselamatan susulan aktiviti kilat berhampiran stadium dan ancaman ribut petir di kawasan berkenaan.
Perlawanan hanya disambung semula selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan kembali selamat.
Sepanjang tempoh penangguhan, penonton diarahkan meninggalkan tempat duduk masing-masing dan berlindung di kawasan berbumbung di dalam stadium.
"Sila tinggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan berlindung di dalam stadium mengikut arahan petugas stadium.
"Ribut petir kuat sedang menghampiri," menurut mesej yang dipaparkan pada papan skor stadium.
Selepas aksi bersambung, Perancis terus menguasai permainan dan meledak dua lagi gol untuk melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Iraq.
Kylian Mbappe menjaringkan dua gol, masing-masing sebelum dan selepas penangguhan perlawanan, manakala Ousmane Dembele menambah satu lagi jaringan untuk mengukuhkan kelebihan Perancis.
Mbappe kini menjaringkan 16 gol di pentas Piala Dunia, hanya dua gol di belakang rekod baharu 18 gol yang dicipta penyerang Argentina, Lionel Messi, awal hari yang sama.
-- BERNAMA-ANADOLU
Berita terkini
- PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu
- Pelajar Wanita Warga Asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza