Dua Lelaki Cedera Parah Terbabit Pergaduhan Dua Kumpulan
JASIN, 23 Jun (Bernama) -- Dua lelaki cedera parah selepas dipercayai dipukul dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran perhentian bas di Jalan Gapam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah malam itu, mangsa seorang pengganggur berusia 21 tahun mengalami kecederaan serius di kepala, manakala seorang lagi mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami pendarahan dalam otak selain patah tangan kiri dan kaki kiri.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan dua kumpulan lelaki itu melibatkan penggunaan tangan dan senjata dipercayai sebatang kayu serta kedua-dua mangsa yang cedera tidak mengenali antara satu sama lain.
"Punca pergaduhan dipercayai akibat cemburu apabila beberapa orang lelaki tidak dikenali memanggil seorang lelaki berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang supaya memulangkan beg duit milik seorang wanita dikenali sebagai 'Rina'," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata operator kilang itu kemudiannya ditampar oleh seorang daripada suspek sebelum abang mangsa, iaitu pemandu lori yang cedera dalam kejadian itu datang membantu sehingga berlaku pergaduhan.
“Kedua-dua mangsa yang cedera parah itu dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut, tetapi mereka masih tidak sedarkan diri akibat pendarahan otak,” katanya.
Lee berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran dengan lokasi kejadian merakam kelibat beberapa orang lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut dan usaha mengesan mereka giat dilakukan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Murid 10 Tahun Dirujuk Ke Hospital Selepas Dipercayai Dibuli Di Asrama Sekolah
- Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri Ke-149 Tumpu Pemulihan Ekonomi - PM Anwar
- Polis, KPDN Rampas 5,250 Liter Diesel Dipercayai Diseleweng
- PN Sasar Muktamad Agihan Kerusi PRN Johor Khamis Ini - Annuar
- Maxis, BSTP Pertingkat Program GenAI eKelas Di 400 Sekolah