PRN Johor: Maszlee Sahut Pelawaan Debat Dengan Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik secara terbuka menyahut pelawaan untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Maszlee, yang diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Puteri Wangsa pada PRN itu, berkata keputusan dibuat atas dasar menghormati demokrasi serta kepercayaan bahawa ruang perdebatan boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kematangan politik dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata pelawaan berkenaan mendapat perhatian ramai dengan pelbagai pihak menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan berhubung penyertaannya dalam debat tersebut.
“Dengan segala rasa rendah diri dan hormat, serta berpijak di atas latar dan prinsip demokrasi, saya menerima pelawaan atau cabaran ini.
“Insya-Allah kita bersama-sama menjadikan ruang debat atau dialog ini sebagai wahana untuk mendidik rakyat dan menjulang budaya politik matang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cadangan penganjuran ‘Debat Perdana PRN Johor’ yang dilihat berpotensi menjadi antara tumpuan menjelang PRN Johor itu dicetuskan pempengaruh Muhamad Harris Nasril dan turut dikongsi di laman Facebook Redaksi.com, selepas Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kesemua 56 calon mewakili PH, di Muar, semalam.
Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan 20 calon mewakili PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- JIM Tutup Sementara Kaunter Pasport Di 71 Cawangan Secara Berfasa Mulai 26 Jun
- Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Rendah
- Kerajaan MADANI Perkukuh Usaha Dekati Rakyat Menerusi Ziarah Kasih
- Sami Menang RM1 Juta Cabutan Jutawan BSN SSP Ke-124
- Permintaan Buah Tropika Meningkat, China Perluas Kapasiti Hab Perdagangan