20/06/2026 11:32 AM

Siaran Percuma FIFA 2026 Terima Sambutan Baik, Penjimatan Kepada Pengusaha Restoran - Fahmi

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Inisiatif kerajaan menyiarkan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV menerima sambutan amat baik, selain dapat membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung pengusaha restoran dan orang ramai.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), yang menyifatkan langkah menyediakan siaran percuma berkenaan memberi penjimatan besar kepada pengusaha restoran.

“Malah, ada seorang peniaga memaklumkan bahawa ini kali pertama dalam tempoh lebih dua dekad beliau dapat menyaksikan siaran Piala Dunia secara percuma.

“Kita tahu perlawanan ini boleh ditonton menerusi RTM, RTMKlik dan Unifi TV. Bagi saya, ini dapat membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh orang ramai dan juga pengusaha premis makanan.

“Kita harap inisiatif ini dapat membantu khususnya sektor makanan dan minuman (F&B) untuk menarik lebih ramai penonton serta pelanggan ke premis mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jiwa@Sembang Santai Edisi Khas Piala Dunia FIFA 2026, di Medan Makan Pasar Awam Seberang Jaya, di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa menyaksikan perlawanan antara Brazil dan Haiti bagi separuh masa pertama bersama-sama orang ramai, selain beramah mesra dengan peniaga di pasar awam berkenaan.

Beliau berkata kunjungan itu, turut memberi peluang kepadanya mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai keadaan perniagaan serta cabaran yang dihadapi peniaga ketika ini.

“Saya ambil kesempatan untuk melawat gerai-gerai, bertanya khabar dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan perniagaan serta harapan mereka terhadap bantuan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.

“Saya telah menerima beberapa input dan akan menyampaikannya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow),” katanya.

Fahmi turut berharap lebih ramai menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat meluangkan masa turun padang, bagi melihat sendiri keadaan rakyat dan peniaga, terutama dalam menghadapi kesan peningkatan kos susulan konflik di Asia Barat.

“Walaupun kita berharap konflik itu akan berakhir, kesannya masih dirasai melalui peningkatan kos beberapa barangan dan perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya.

-- BERNAMA