Malaysia Hasrat Jalin Kerjasama Media Lebih Erat Dengan Timor-Leste - Fahmi
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berhasrat untuk meningkatkan hubungan kerjasama media dengan Timor-Leste menerusi agensi-agensinya termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Hasrat itu disampaikan melalui pertemuan bersama dengan delegasi Timor-Leste, yang diketuai Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes diiringi Presiden agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) Noémio Mateus Soares Falcão dan Timbalannya Madalena DE JCP Carlos.
“Saya dan rakan sejawat berharap beberapa perkara berkaitan Bernama dan RTM bersama-sama agensi sejawat di Timor Leste, hubungannnya dapat dipertingkat.
“Saya juga ada mencadangkan supaya Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menjadi tuan rumah untuk sesi latihan wartwan-wartawan dari Timor-Leste,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.
Semasa pertemuan itu, Fahmi bersama rakan sejawat Ximenes turut bertukar pandangan mengenai kedudukan Timor-Leste dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) yang tertinggi di Asia Tenggara dan ke-30 daripada 180 negara.
“Saya juga ada menyampaikan pandangan bagaimana Timor-Leste boleh berada pada kedudukan indeks RSF yang sangat tinggi, Timor-Leste berada di kedudukan nombor satu di Asia Tenggara, manakala Malaysia di kedudukan kedua,” katanya.
Fahmi berkata Kerajaan Madani juga meningkatkan usaha, dasar dan inisiatif bagi menambah baik kedudukan tersebut.
“Walaupun bagi Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga empat tahun kebelakangan ini, kedudukan Malaysia jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum Kerajaan MADANI, namun kita lihat ada ruang untuk kita tambah baik usaha, dasar, inisiatif untuk meningkatkan dalam tangga Indeks Kebebasan Media RSF,” katanya.
Turut sama dalam pertemuan itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Delegasi Timor-Leste itu berada di Malaysia bersempena dengan majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.
Edisi keenam HAWANA itu, menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan asing di bawah tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga petang ini.
Pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 itu juga Bernama dan TATOLI, dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi mengeratkan kerjasama media antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.
-- BERNAMA