Gawai Kitai 2026 Tampil Warisan Budaya Dayak Di Ibu Negara
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mengenali lebih dekat keunikan budaya masyarakat Dayak di Sarawak menerusi program Gawai Kitai 2026 yang berlangsung selama dua hari hingga esok di The Square, Publika, Solaris Dutamas di sini.
Program anjuran MOD Solution dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menampilkan persembahan tarian tradisional etnik Sarawak seperti ngajat, tarian buluh dan persembahan sape, selain demonstrasi serta bengkel kebudayaan, pameran warisan, jualan produk tempatan dan persembahan artis kelahiran Sarawak.
Penganjur Gawai Kitai 2026, Michael Oridecth Dures berkata program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu mempromosikan budaya, seni dan warisan Sarawak kepada masyarakat termasuk pelancong asing.
"Sambutan yang diterima tahun lepas amat menggalakkan dan menjadi pemangkin kepada kami untuk meneruskan usaha mempromosikan budaya, seni dan warisan masyarakat Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan hari ini.
Program itu dirasmikan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Shaharuddin ketika ditemui pemberita berkata meskipun program berkenaan diadakan di ibu negara dan tidak dapat menampilkan sepenuhnya suasana sambutan Hari Gawai di rumah panjang di Sarawak, ia masih berjaya mengetengahkan pelbagai elemen budaya masyarakat negeri itu.
"Kita amat mengalu-alukan penganjurannya kerana ia mempamerkan keunikan budaya di negara ini kepada pengunjung domestik dan antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH