Penghakiman Tertunggak Telah Dibayar Kepada Kok, Lelongan Harta Jamal Pada 22 Jun Tangguh
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos telah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dalam kes saman fitnah.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Kok, dalam kenyataan media hari ini mengesahkan bahawa Jamal selaku penghutang penghakiman, telah menyerahkan cek berjumlah RM66,600 kepada Kok selaku pemiutang penghakiman semalam (19 Jun), pada 5 petang sebagai penyelesaian kepada hutang penghakiman tersebut.
“Berikutan pembayaran yang diterima itu, lelongan awam yang sebelum ini dijadualkan pada 22 Jun 2026 telah ditangguhkan dan tidak akan diteruskan buat sementara waktu, sementara menunggu penjelasan (clearance) cek berkenaan.
“Hutang penghakiman akan dianggap telah dijelaskan sepenuhnya dan prosiding lelongan akan dibatalkan sewajarnya, tertakluk kepada cek tersebut berjaya dijelaskan,” katanya yang memaklumkan pihak-pihak terbabit merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat, dalam membantu penyelesaian perkara itu.
Nair ketika dihubungi Bernama berkata penghakiman tertunggak RM66,600 itu merupakan kos dalam kes saman itu.
Pada 12 Jun lepas, Nair berkata sebanyak 14 harta alih yang telah disita dari kediaman Jamal akan dilelong 22 Jun ini pada 10 pagi, selepas beliau gagal menjelaskan penghakiman tertunggak berkenaan.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kok.
Untuk rekod, Jamal telah membayar ganti rugi RM300,000 itu.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok, selepas membenarkan tuntutan samannya terhadap Jamal berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH