20/06/2026 10:51 AM

Filem Biopik Sudirman Bakal Temui Peminat Menjelang 2028

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Usaha mengembalikan kegemilangan industri muzik Malaysia ke pentas antarabangsa bakal direalisasikan menerusi penerbitan filem biopik mengenai penghibur legenda Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad menjelang 2028.

Anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai, berkata filem itu bukan sekadar tentang kisah Sudirman, tetapi mengenai era kegemilangan muzik tempatan pada 1980-an yang pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Kita mahu generasi hari ini mengenali semula budaya, perpaduan dan semangat rakyat Malaysia pada waktu itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Legasi Datuk Sudirman Arshad, di sini, semalam.


Anak saudara Allahyarham Sudirman Arshad, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai

Atai berkata idea penerbitan biopik itu tercetus lima tahun lepas dan kini memasuki fasa pembangunan awal dengan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), khususnya dalam aspek pembangunan skrip.

Menurut beliau, beberapa pengarah berpotensi telah dikenal pasti dan pihak produksi kini giat mencari kerjasama strategik dan dana, selain akan mengadakan sesi uji bakat untuk mencari pelakon yang mampu membawa watak penghibur serba boleh itu. 

Dalam perkembangan sama, Atai yang mewakili waris Allahyarham Sudirman, menerima bayaran royalti berjumlah lebih RM360,000 daripada EMI Music Malaysia, antara label di bawah naungan Universal Music Malaysia.

Beliau berkata bayaran tersebut meliputi karya-karya Allahyarham sejak era 1970-an berdasarkan perjanjian dan hak cipta yang dimeterai ketika itu.


Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim

Menurut Atai urusan tuntutan dan pengesahan royalti itu mengambil masa kira-kira dua tahun kerana melibatkan proses audit akaun serta perbincangan terperinci antara waris, peguam keluarga dan syarikat rakaman bagi memastikan pelantikan pentadbir yang sah.

"Sebelum ini, urusan royalti agak sukar kerana tiada mekanisme pentadbiran yang diwujudkan sejurus selepas pemergian Allahyarham.

“Selepas urusan tanggungjawab kewangan lama diselesaikan oleh adik-beradik beliau, kami menubuhkan Sudirman Asset Management pada 2015 bagi memudah cara dan menyelaras segala urusan berkaitan legasi Allahyarham, termasuk permohonan penggunaan imej, karya dan hak harta intelek beliau," katanya.


Atai berkata inisiatif itu turut membolehkan pengurusan hak cipta dan royalti Allahyarham dilaksanakan secara lebih tersusun, sekali gus memudahkan pihak luar yang ingin mendapatkan kebenaran berkaitan penggunaan karya dan identiti Sudirman pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata proses pengauditan akaun dan penyelarasan penyata royalti berkenaan mengambil masa hampir dua tahun berikutan kekaburan beberapa kontrak lama Allahyarham ketika di bawah label EMI Music Malaysia.

"Penyerahan royalti ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab syarikat kepada waris, malah merupakan satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Sudirman yang telah membentuk landskap muzik tanah air," katanya.


Kim berkata susulan tamatnya kontrak lama tersebut, perjanjian baharu telah ditandatangani dengan keluarga Sudirman yang merangkumi aspek pendigitalan, pemulihan audio, penerbitan semula karya ikonik termasuk piring hitam serta pembayaran royalti digital secara menyeluruh.

Menurut beliau, Universal Music Malaysia kini merancang pelbagai inisiatif komersial termasuk kempen digital menerusi platform penstriman utama serta barangan cenderamata baharu bagi memperkenalkan semula katalog lagu Sudirman kepada generasi muda.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu,  Universal Music Malaysia dan Sudi Production bekerjasama mengadakan program "Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0" di lima universiti awam terpilih bertujuan mengenal pasti bakat baharu dalam bidang nyanyian dan lakonan bagi menyokong penerbitan filem biopik tersebut.

"Kami bukan mahu mencari replika atau menggantikan Sudirman kerana beliau tidak boleh diganti. Kami mahu mencari bakat muda yang mendapat inspirasi daripada seni beliau untuk membawakan karya itu dalam pendekatan yang lebih segar dan relevan," katanya.

-- BERNAMA