Kemuncak Sambutan HAWANA 2026 Di Pulau Pinang Hari Ini
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 mencapai kemuncaknya hari ini dengan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini.
Majlis kemuncak edisi keenam bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 petang ini.
Turut dijadualkan hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.
Kemuncak sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi media antarabangsa termasuk Agensi Berita Indonesia (Antara), Vietnam News Agency (VNA), Xinhua News Agency, Persatuan Wartawan Indonesia serta Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah HAWANA dan Anugerah Khas HAWANA kepada tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia kewartawanan serta pembangunan pemikiran masyarakat, selain turut menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada veteran yang memerlukan.
Bagi memeriahkan suasana, Karnival RIUH Pi HAWANA turut diadakan selama tiga hari bermula semalam di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA, dengan menampilkan persembahan artis tempatan seperti Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang, dan Chelsea Ng.
Karnival berkenaan menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, di samping menawarkan pelbagai bengkel interaktif kepada pengunjung.
Sebelum ini, beberapa program pengisian telah dianjurkan bersempena dengan HAWANA 2026 termasuk Forum Media HAWANA 2026 pada 7 Mei, Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 pada 4 Jun, serta acara Fun Walk HAWANA 2026 pada 14 Jun yang berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada pengamal media dan orang awam.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap jasa dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Dianjurkan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana, HAWANA menjadi platform utama untuk menghargai dedikasi, profesionalisme dan peranan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih, serta berwibawa kepada masyarakat.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Penghakiman Tertunggak Telah Dibayar Kepada Kok, Lelongan Harta Jamal Pada 22 Jun Tangguh
- Dasar Luar Berkecuali Dan Terbuka Malaysia Buka Peluang Baharu Ekonomi - PM Anwar
- Hujan Lebat, Ribur Petir Dijangka Landa Tiga Negeri, Labuan Sehingga 3 Petang
- Malaysia Hasrat Jalin Kerjasama Media Lebih Erat Dengan Timor-Leste - Fahmi
- Chatbot AI, Media Sosial Dan Pencipta Video Ubah Cara Penyebaran Berita - Laporan