19/06/2026 12:18 AM

Solat Jumaat Di Outreach Oasis Bukit Bintang Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Umat Islam di sekitar Bukit Bintang dapat menunaikan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang mulai esok susulan kelulusan khas yang diberi bagi tujuan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan menerusi hantaran di Facebook berkata kemudahan berkenaan diberi secara sementara sehingga surau Jumaat kekal di lokasi itu siap dibina.

“Sejarah bakal tercipta di Bukit Bintang esok! Atas izin Allah dan kelulusan khas, solat Jumaat kini boleh ditunaikan di Outreach Oasis Bukit Bintang buat sementara waktu sehingga surau Jumaat kekal siap dibina kelak.

“Selepas ini, tak perlu kelam-kabut nak kejar masa atau bersesak pergi jauh demi menunaikan kewajipan, insya-Allah,” katanya. 

Beliau turut mengajak umat Islam, khususnya warga Bukit Bintang untuk hadir dan memeriahkan pelaksanaan solat Jumaat di lokasi berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap syiar Islam.

“Jom, penuhkan saf tanda sokongan padu ummah untuk syiar Islam. Hari Jumaat, hari penuh barakah! Kita rehatkan minda, bersihkan jiwa dan imarahkan solat Jumaat di Outreach Oasis Bukit Bintang esok!” katanya. 

Kerajaan, dilaporkan sebelum ini, dalam usaha untuk mewujudkan surau Jumaat yang selesa di Bukit Bintang bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan ibadah di kawasan tumpuan pelancong itu. 

-- BERNAMA