PM Anwar Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari
Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
ASHGABAT (TURKMENISTAN), 18 Jun (Bernama) -- Selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Kazan, Republik Tatarstan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu kota Turkmenistan, di sini yang terkenal sebagai “Kota Marmar Putih” pada Khamis, untuk satu lagi lawatan ke negara Asia Tengah.
Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 8 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari bermula pada hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Sejurus tiba, Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin dan Timbalan Pengerusi Menteri Kabinet bagi Minyak dan Gas Turkmenistan Guvanch Agajanov.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan rasmi Anwar ke Turkmenistan merupakan undangan daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov dan juga kunjungan balas susulan lawatan rasmi Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.
Lawatan ini juga menandakan lawatan rasmi Anwar yang pertama ke Turkmenistan dan kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.
Anwar memulakan lawatan dengan menghadiri majlis makan malam dengan diaspora dan rakan Malaysia.
Majlis sambutan rasmi oleh Berdimuhamedov akan berlangsung di Istana Presiden pada Jumaat, diikuti pertemuan empat mata dengan presiden, mesyuarat dua hala, penandatanganan kenyataan bersama oleh kedua-dua pemimpin serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman yang dimuktamadkan oleh dua kerajaan.
Menurut Wisma Putra, Anwar kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari yang diraikan oleh Berdimuhamedov di Istana Presiden sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Turkmenbashi Ruhy.
Perdana Menteri juga dijadualkan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama Berdimuhamedov di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan pada sebelah petang, sebelum mengadakan sidang akhbar dengan media Malaysia dan mengakhiri lawatan berkenaan.
Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatat peningkatan sebanyak 9 peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 hingga kini.
Sementara itu, Perdana Menteri dan delegasi menghadiri majlis makan malam bersama-sama 300 diaspora Malaysia di Turkmenistan dan rakan Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia boleh bangkit dan menjadi negara utama yang sangat penting dengan dasar ekonomi yang jelas serta maju dalam sains dan teknologi baharu.
"Tetapi (untuk itu), kita mesti mempunyai pemimpin, sektor swasta, perkhidmatan awam, yang kekal komited, berdisiplin, menghentikan kerosakan akibat penyalahgunaan kuasa dan rasuah, dan kekal fokus untuk bekerjasama," kata beliau.
Anwar berkata Malaysia juga berminat untuk bekerjasama dengan negara Asia Tengah dalam pelbagai industri selain sektor minyak dan gas.
Terdahulu, dalam taklimat media, Mohd Suhaimi berkata terdapat kira-kira 177 rakyat Malaysia berdaftar yang tinggal di Turkmenistan, kebanyakannya petugas Petronas Carigali Turkmenistan Sdn. Bhd. dan keluarga mereka.
Terdapat juga sebilangan rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa serta sektor lain di negara ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- ASEAN, Rusia Terima Pakai Deklarasi Kazan Bagi Perkukuh Perkongsian Strategik
- Solat Jumaat Di Outreach Oasis Bukit Bintang Mulai Esok
- PM Anwar Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari
- Usaha Reformasi Kerajaan Berjaya Lonjak Kedudukan Negara Dalam WCR 2026 - Ksn
- Jenazah Suami Nancy Shukri Diterbangkan Ke Kuching Esok, Dikebumi Di Samariang