19/06/2026 12:08 AM

Usaha Reformasi Kerajaan Berjaya Lonjak Kedudukan Negara Dalam WCR 2026 - Ksn

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi yang dinilai dalam Laporan World Competitiveness Ranking (WCR) 2026, sekali gus menjadi prestasi terbaik negara dalam tempoh sedekad.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.

“Untuk rekod, sasaran kerajaan adalah di kedudukan ke-12 terbaik menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata faktor Kecekapan Kerajaan yang merupakan satu daripada empat faktor utama yang diukur dalam laporan itu mencatat peningkatan memberangsangkan apabila melonjak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14.

Beliau berkata ia membuktikan bahawa reformasi yang dilaksanakan untuk memperkukuh tatakelola, meningkatkan kecekapan penyampaian serta mengurangkan beban birokrasi mula diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat dan komuniti perniagaan.

"Beberapa indikator yang berkaitan dengan Kecekapan Kerajaan turut mencatat peningkatan ketara, termasuk indikator Tempoh Memulakan Perniagaan yang melonjak 38 anak tangga daripada kedudukan ke-53 kepada ke-15," katanya.

Shamsul Azri berkata peningkatan itu didorong, terutamanya oleh lonjakan 29 anak tangga bagi subfaktor Perundangan Perniagaan daripada kedudukan ke-46 kepada ke-17.

Selain itu, indikator Tempoh Memulakan Perniagaan melonjak 38 anak tangga daripada kedudukan ke-53 kepada ke-15, manakala indikator baharu Beban Peraturan yang diperkenalkan dalam WCR 2026 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-11 dunia.

Pada masa sama, Shamsul Azri berkata indikator Birokrasi meningkat lapan anak tangga kepada kedudukan keenam dunia berbanding tangga ke-14 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata pencapaian tersebut selari dengan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menjadi kerangka utama penambahbaikan perkhidmatan kerajaan. 

Menurut Shamsul Azri, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM) dan Pekeliling ILTIZAM yang berkuat kuasa pada 1 Dis tahun lepas turut menjadi pemangkin penting kepada reformasi peraturan negara.

Beliau berkata antara mekanisme yang diperkenalkan termasuklah semakan berkala instrumen kawal selia setiap tiga tahun, pengurangan beban peraturan sekurang-kurangnya 25 peratus serta dasar “satu masuk, satu keluar”.

Sementara itu, katanya, pemerkasaan Program Reformasi Kerenah Birokrasi dengan sasaran 500 projek disiapkan dan dilaksanakan sepenuhnya tahun ini dijangka menjana potensi penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.5 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Shamsul Azri berkata perkhidmatan awam akan terus memperkukuh momentum reformasi bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat dan sektor ekonomi.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan setiap pembaharuan diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pengurangan beban peraturan, peningkatan produktiviti serta persekitaran yang lebih kondusif kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.

-- BERNAMA