Jenazah Suami Nancy Shukri Diterbangkan Ke Kuching Esok, Dikebumi Di Samariang
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Jenazah Datuk Kamil Misuari, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, dijadual diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada 11 pagi esok untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah akan diterbangkan menerusi penerbangan MH2520 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 12.50 tengah hari.
“Selepas urusan pelepasan di lapangan terbang yang dijangka mengambil masa antara 60 hingga 90 minit, jenazah akan dibawa ke kediaman rasmi Datuk Seri Nancy Shukri dan dijangka tiba pada 2.50 petang.
“Solat jenazah akan diadakan di kediaman rasmi berkenaan pada 4.40 petang sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Samariang untuk dikebumikan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, kira-kira 250 individu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara di sini malam ini.
Solat jenazah itu diimamkan oleh Imam Masjid Negara Zainul Hilmi Abd Jalil.
Tinjauan Bernama di Masjid Negara mendapati suasana hiba menyelubungi masjid berkenaan ketika bacaan Yasin dan sesi penghormatan terakhir buat Allahyarham sebelum jenazah dibawa ke KLIA kira-kira 11.20 malam.
-- BERNAMA
Berita terkini
- ASEAN, Rusia Terima Pakai Deklarasi Kazan Bagi Perkukuh Perkongsian Strategik
- Solat Jumaat Di Outreach Oasis Bukit Bintang Mulai Esok
- PM Anwar Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari
- Usaha Reformasi Kerajaan Berjaya Lonjak Kedudukan Negara Dalam WCR 2026 - Ksn
- Jenazah Suami Nancy Shukri Diterbangkan Ke Kuching Esok, Dikebumi Di Samariang