18/06/2026 09:12 PM

Malaysia Perlu Rangka Undang-undang, Regulasi Kukuh Sebelum Teroka Kuasa Nuklear – Persatuan Nuklear Sedunia

Daripada Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu mewujudkan rangka kerja perundangan dan kawal selia yang kukuh serta membangunkan tenaga kerja mahir sebelum tenaga nuklear boleh dipertimbangkan secara realistik dalam campuran sumber tenaga jangka panjang negara, kata Ketua Pengarah Persatuan Nuklear Sedunia (WNA) Dr Sama Bilbao y Leon.

Beliau berkata mana-mana negara yang ingin membangunkan program tenaga nuklear perlu terlebih dahulu menyediakan asas kukuh termasuk perundangan, peraturan serta pembangunan bakat bagi menyokong ekosistem industri berkenaan.

“Ia merupakan pilihan yang realistik di banyak negara, sama ada negara baharu atau negara yang sudah lama menggunakan nuklear. Tahun ini, Bangladesh dan Turkiye akan mula menggunakannya,” katanya kepada Bernama di luar Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent (TIIF) 2026 di sini.

Beliau berkata kedua-dua negara itu dijangka memulakan operasi loji nuklear pertama masing-masing tahun ini, selepas beralih daripada sifar kapasiti penjanaan nuklear kepada menjana sekitar 10 peratus bekalan elektrik dalam tempoh kurang sedekad.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata Malaysia sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap potensi program tenaga nuklear, merangkumi dasar, rangka kerja kawal selia, kebolehlaksanaan projek, penyertaan industri, libat urus pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.

Beliau berkata langkah itu merupakan usaha strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang negara di samping menyokong peralihan kepada tenaga bersih.

Ketika ini, Malaysia tidak mempunyai loji tenaga nuklear dan bergantung kepada gas, arang batu serta sumber tenaga boleh baharu bagi penjanaan elektrik.

Bilbao y Leon berkata tenaga nuklear kekal antara teknologi terbukti yang mampu menyediakan bekalan elektrik yang banyak, stabil, mampu milik dan bebas karbon secara berterusan.

“Jika anda mahukan bekalan elektrik yang banyak, mampu milik, 24 jam tanpa henti dan bebas karbon, pilihan tidak banyak. Anda ada tenaga nuklear, hidro dan geoterma,” katanya.

Beliau berkata permintaan global terhadap tenaga asas yang boleh dipercayai semakin meningkat, didorong pertumbuhan pesat pusat data, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan industri berintensif tenaga.

“Kita melihat di seluruh dunia pengguna tenaga berskala besar, sama ada AI, pusat data, syarikat teknologi atau industri minyak dan gas. Kesemua mereka kini melihat tenaga nuklear sebagai antara pilihan,” katanya.

Mengenai kebimbangan awam terhadap tenaga nuklear, beliau berkata sentimen global terhadap teknologi itu semakin bertambah baik apabila negara-negara mencari sumber elektrik yang selamat dan rendah karbon.

Beliau turut menyifatkan tenaga nuklear sebagai antara kaedah penjanaan elektrik paling selamat berdasarkan data industri yang diukur melalui kadar kematian per kilowatt-jam yang dihasilkan.

Sementara itu, beliau berkata reaktor modular kecil (SMR) dijangka memainkan peranan semakin penting dalam landskap tenaga nuklear masa depan, termasuk di negara baharu.

Menurutnya, SMR menawarkan pendekatan lebih standard dan modular, dengan komponen boleh dihasilkan di kilang sebelum dipasang di tapak, sekali gus mempercepatkan proses pembinaan berbanding loji konvensional.

“Kita sedang bergerak ke arah pembinaan yang lebih standard, modular dan dihasilkan di kilang. Ini menjadikan projek lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata SMR kini sedang dibangunkan di Kanada, Amerika Syarikat, Eropah dan China, manakala Rusia telah pun mempunyai SMR yang beroperasi.

“Kita akan melihatnya beroperasi sebelum akhir dekad ini dan dijangka berkembang dengan lebih meluas pada dekad akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata reaktor nuklear berskala besar masih akan terus mendominasi pembangunan global, dengan sebahagian besar daripada 80 loji nuklear yang sedang dibina di seluruh dunia terdiri daripada reaktor konvensional berskala besar.

Persidangan TIIF 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun bertemakan ‘Ketahanan Pelaburan, Sempadan Baharu, Perkongsian Baharu’ itu menarik hampir 4,000 peserta dari lebih 100 negara.

-- BERNAMA