Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Jamuan Minum Petang Yayasan TZA
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Hi-Tea Apresiasi Yayasan TZA (YTZA) di sini hari ini.
Ketibaan baginda kira-kira 3.50 petang disambut Pengerusi YTZA Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Penasihat YTZA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Berucap pada majlis berkenaan, Tengku Zafrul berkata program yayasan itu bukan sahaja dirangka bagi memenuhi keperluan segera, sebaliknya turut memperkasakan individu serta komuniti bagi membina masa depan lebih baik.
“Sama ada menerusi program sokongan pendidikan, inisiatif kelestarian, usaha jangkauan komuniti mahupun sambutan perayaan bersama komuniti kurang bernasib baik, komitmen kami kekal teguh untuk meningkatkan taraf hidup, memperkukuh komuniti serta menyumbang ke arah Malaysia yang lebih inklusif, berperikemanusiaan dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata sejajar dengan komitmen YTZA untuk memperkasakan generasi masa depan menerusi pendidikan, satu daripada inisiatif utama yayasan berkenaan adalah Program ACE SPM, yang diperkenalkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan akademik dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar daripada komuniti B40.
Pada 2025, beliau berkata program berkenaan memanfaatkan 467 pelajar di 10 sekolah di Selangor, manakala inisiatif digital pula telah menjangkau lebih 4,000 pelajar.
“Pencapaian yang menggalakkan ini telah memperkukuh tekad kami untuk memperluas program itu dan menjangkau lebih ramai pelajar pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Tengku Zafrul turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada penaja, penderma, rakan strategik, sukarelawan dan penyokong yang memainkan peranan pening dalam merealisasikan YTZA melaksanakan misinya serta memperluas capaian kepada mereka yang memerlukan.
Pada majlis tu, Sultan Selangor menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM1 juta daripada Kuok Brothers Sdn Bhd dan RM300,000 daripada YTL Power International Berhad.
YTZA turut melancarkan Larian KITA@Klang yang akan diadakan pada 10 Okt depan sempena sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor tahun ini.
Larian berkenaan adalah kali keempat dianjurkan yayasan itu iaitu larian santai komuniti yang meraikan keterangkuman, semangat komuniti serta tarikan budaya dan kulinari di sepanjang laluan terpilih.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- ASEAN, Rusia Terima Pakai Deklarasi Kazan Bagi Perkukuh Perkongsian Strategik
- Solat Jumaat Di Outreach Oasis Bukit Bintang Mulai Esok
- PM Anwar Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari
- Usaha Reformasi Kerajaan Berjaya Lonjak Kedudukan Negara Dalam WCR 2026 - Ksn
- Jenazah Suami Nancy Shukri Diterbangkan Ke Kuching Esok, Dikebumi Di Samariang