KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengadakan mesyuarat bersama kelab-kelab Liga Malaysia bagi membincangkan langkah berjaga-jaga dan pemantauan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) susulan perkembangan situasi jerebu, demi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak sepanjang saingan Liga Malaysia 2026-2027.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mesyuarat yang diadakan secara dalam talian itu turut meneliti status semasa bacaan IPU serta potensi kesannya terhadap penganjuran perlawanan sekiranya kualiti udara di kawasan terlibat terus merosot.
Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd; Ketua Pegawai Operasi MFL, Harris Taufieq Zafri; ketua-ketua unit MFL; wakil Liga Bolasepak Amatur (AFL); serta CEO dan wakil kelab Liga Malaysia yang terlibat.
Menurut kenyataan itu, taklimat oleh Mohd Shazli bertujuan memastikan semua kelab sentiasa mengikuti perkembangan situasi jerebu dan memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing, khususnya menjelang hari perlawanan.
“Penekanan turut diberikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat, termasuk pemain, pegawai pasukan, petugas perlawanan serta penyokong.
“Antara langkah yang ditekankan termasuk menggalakkan pelaksanaan cooling break (rehat penyejukan), pemakaian pelitup muka serta penyediaan kemudahan perubatan dan logistik yang bersesuaian di venue perlawanan,” menurut kenyataan itu.
MFL turut menggalakkan semua kelab menyalurkan maklumat dan saranan berkaitan langkah berjaga-jaga kepada penyokong masing-masing berdasarkan keadaan semasa.
-- BERNAMA