Am 16/10/2026 08:51 PM

Jerebu: UNICEF Gesa Langkah Drastik Lindungi Kanak-kanak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: UNICEF Gesa Langkah Drastik Lindungi Kanak-kanak
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa langkah drastik bagi melindungi kesihatan dan sosial kanak-kanak daripada kesan jerebu berulang, termasuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan sokongan penting sepanjang penutupan sekolah.

Timbalan Wakil UNICEF Malaysia Sanja Saranovic berkata Malaysia mempunyai kira-kira sembilan juta kanak-kanak, dengan sembilan bagi setiap 10 daripada mereka terdedah kepada partikel halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) yang boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah, sekali gus berpotensi menyebabkan masalah kesihatan serius.

“Kanak-kanak amat terdedah kepada pencemaran udara kerana paru-paru, otak dan sistem imun mereka sedang berkembang. Pendedahan kepada pencemaran ini berpotensi menyebabkan kerosakan yang boleh bermula sebelum kelahiran dan berterusan sepanjang hayat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saranovic berkata penutupan sekolah perlu dilakukan bagi melindungi kanak-kanak daripada kualiti udara buruk dan menegaskan bahawa gangguan berpanjangan boleh menjejaskan pembelajaran serta kesejahteraan kanak-kanak, khususnya mereka yang tidak mempunyai peranti atau akses Internet untuk pembelajaran di rumah.

Beliau berkata selain pendidikan, sekolah turut menjadi tempat kanak-kanak menjalani rutin harian, dibimbing orang dewasa yang dipercayai, berinteraksi dengan rakan sebaya serta menerima makanan penting dan sokongan sosial dalam keadaan tertentu.

Bagi menangani cabaran itu, Saranovic menggariskan empat keutamaan untuk memperkemas perlindungan semasa jerebu iaitu membantu keluarga membuat persediaan, memastikan kesinambungan pembelajaran, mengekalkan akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan sosial selain memperkukuh pelan kesiapsiagaan di sekolah serta klinik.

Beliau berkata keluarga perlu diberikan maklumat jelas berhubung penutupan sekolah serta panduan praktikal untuk mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, manakala sekolah pula harus menyediakan bahan pembelajaran luar talian dan kit pembelajaran kendiri bagi kanak-kanak yang tiada peranti atau akses internet.

Saranovic berkata sekolah dan kemudahan kesihatan perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan jerebu berpandukan maklumat rasmi kualiti udara dan panduan kesihatan serta menggunakan alat pemantau kualiti udara pada kos rendah untuk menilai keadaan setempat sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Di kawasan berjerebu, penggunaan pembersih udara di sekolah juga boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada strategi bersasar selain mengambil kira kos serta keperluan dengan mengutamakan sekolah dan kanak-kanak sebagai golongan paling terdedah,” katanya.

Selain itu, Saranovic berkata usaha mengatasi krisis jerebu memerlukan tindakan secara bersama antara Malaysia dan negara jiran bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah gambut, memperkukuh pemantauan kualiti udara selain memastikan kerajaan serta pihak berkaitan lebih bertanggungjawab, di samping melindungi sumber rezeki masyarakat yang terjejas.

“Kanak-kanak tidak mampu menghentikan kebakaran, membersihkan udara atau menentukan bila sekolah akan dibuka semula. Mereka bergantung kepada tindakan orang dewasa dan hak mereka perlu didengari dalam keputusan berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA