KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- ASEAN menjangkakan lebih banyak negara akan menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 pada November ini, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 perjanjian berkenaan, lapor TV BRICS memetik Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Perjanjian itu kini mempunyai 62 Pihak Pejanji Tahap Tinggi, termasuk Rusia.
“Kami menjangkakan beberapa negara lain akan menyertai perjanjian ini semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49. Ini sangat signifikan bagi kami kerana Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama kini mempunyai jangkauan geografi global dengan penyertaan negara-negara dari pelbagai rantau di dunia,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama TV BRICS.
Ulang tahun ke-50 perjanjian itu muncul serentak dengan Kepengerusian ASEAN oleh Filipina bagi tahun ini.
Sementara itu, Kao berkata sidang kemuncak berkenaan turut menyaksikan penandatanganan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang disifatkan beliau sebagai perjanjian seumpamanya yang pertama di dunia mengikat secara undang-undang bagi mengawal selia ekonomi digital serantau.
Perjanjian itu bertujuan memperluas ekonomi digital ASEAN daripada US$300 bilion pada 2025 kepada US$2 trilion menjelang 2030.
“Kami tidak membina 10 atau 11 ekonomi digital; sebaliknya ia akan menjadi sebuah ekonomi digital yang digerakkan secara bersama dalam kalangan negara anggota. Ini amat penting kerana ia merupakan perjanjian pertama di peringkat rantau yang mengikat secara undang-undang,” katanya kepada TV BRICS.
Rundingan mengenai DEFA bermula pada September 2023 dan dimuktamadkan pada Mei 2026, dengan negara-negara anggota kini sedang menjalankan semakan undang-undang dalaman bagi teks berkenaan.
Susulan penandatanganan itu, kerja-kerja perancangan pelaksanaan akan diteruskan seiring dengan proses ratifikasi.
Perjanjian berkenaan akan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor tidak formal, dengan skop meliput pembayaran digital, aliran data, keselamatan siber, e-dagang dan pusat data.
Kao turut memaklumkan bahawa ASEAN menjangkakan kemajuan lanjut dalam inisiatif Grid Kuasa ASEAN berikutan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN baru-baru ini.
-- BERNAMA