Dunia 16/10/2026 09:47 PM

Agensi Jepun Batalkan Amaran Gempa Bumi Selepas Tersilap, Perkhidmatan Tren Terganggu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agensi Jepun Batalkan Amaran Gempa Bumi Selepas Tersilap, Perkhidmatan Tren Terganggu
Seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun tunduk memohon maaf pada sidang media di Tokyo, 16 Okt 2026, selepas agensi itu menarik balik amaran gegaran seismik kuat susulan gempa bumi. (Kyodo)

TOKYO, 16 Okt (Bernama-Kyodo) -- Agensi meteorologi Jepun membatalkan amaran gegaran seismik kuat akibat gempa bumi di luar pantai utara Jepun pada Jumaat selepas tersilap mengeluarkan  anggaran magnitud gempa itu yang terlalu tinggi, iaitu pada 9.9 yang merupakan tahap bencana, sehingga menyebabkan gangguan sementara perkhidmatan tren di beberapa bahagian negara itu, lapor Kyodo News.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata pihaknya sedang menyiasat punca ramalan yang tidak tepat itu. Amaran berkenaan dikeluarkan pada kira-kira 12.40 tengah hari (waktu tempatan) bagi kawasan luas yang merangkumi utara hingga tengah Jepun, dengan menyatakan bahawa gempa bumi itu berlaku di Kepulauan Chishima, yang juga dikenali sebagai Kepulauan Kuril, di luar Hokkaido.

Agensi itu kemudian mengesahkan bahawa gempa bumi bermagnitud 6.9 berlaku berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia, pada kedalaman 160 kilometer, kira-kira 12.38 tengah hari (waktu tempatan).

Amaran awal itu meramalkan gegaran seismik dengan intensiti maksimum tujuh pada skala intensiti Jepun. Bagaimanapun, gegaran paling kuat yang direkodkan hanya mencapai intensiti satu di Hakodate, menurut agensi berkenaan.

Susulan amaran itu, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Laluan Tokaido Shinkansen digantung sementara antara stesen Shin-Yokohama dengan Toyohashi. Perkhidmatan kemudian disambung semula, menurut JR Central.

Hokkaido, pulau utama paling utara Jepun, serta kawasan sekitarnya merupakan antara wilayah yang penduduknya dinasihatkan oleh agensi itu supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan gempa bumi mega di sepanjang Palung Jepun dan Palung Chishima di luar pantai utara negara itu.

-- BERNAMA-KYODO