SINGAPURA, 16 Okt (Bernama) -- Singapura, Malaysia dan Indonesia telah menjalankan latihan kerah tugas darat (GDX) di bawah Jawatankuasa Dana Pusingan pada Jumaat bagi memperkukuh penyelarasan dalam menangani insiden tumpahan minyak di Selat Melaka dan Selat Singapura.
Diketuai oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), latihan itu dilaksanakan menjelang Latihan Bersama Tumpahan Minyak (JOSE) Singapura Ke-17 2026.
MPA memaklumkan bahawa latihan bersama pelbagai agensi itu disimulasikan mengikut kejadian tumpahan minyak berpunca daripada pelanggaran kapal di perairan Singapura, yang mana tumpahan berkenaan kemudiannya melimpah hingga ke pesisir pantai Indonesia dan Malaysia.
"GDX menguji perkongsian maklumat, perancangan tindak balas dan bantuan bersama dalam kalangan ketiga-tiga negara pesisir.
Sebagai sebahagian daripada latihan itu, Indonesia dan Malaysia mengerahkan aset tindak balas di perairan masing-masing bagi menguji aturan tindak balas mereka di bawah senario latihan berkenaan," menurut MPA dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, MPA turut menganjurkan program untuk wakil daripada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Persekutuan Pemilik Tanker Pencemaran Antarabangsa (ITOPF), serta pihak berkuasa maritim dari Indonesia dan Malaysia bagi berkongsi keupayaan tindak balas tumpahan minyak Singapura dan meneroka penggunaan teknologi baharu dalam operasi masa hadapan.
Ini termasuk Maritime Digital Twin (MDT) milik MPA yang menggunakan pemodelan bagi meramal pergerakan tumpahan minyak dan mengenal pasti kawasan berisiko terjejas, selain kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong perancangan tindak balas dan pengerahan sumber.
"Program itu turut mengetengahkan bagaimana teknologi baharu mampu meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap tumpahan minyak," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA