Ekonomi 16/10/2026 08:52 PM

Malaysia Berada Di Landasan Atasi Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 - Ahli Ekonomi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Berada Di Landasan Atasi Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 - Ahli Ekonomi
Professor Dr Yeah Kim Leng,

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia berada di landasan untuk mengatasi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.8 hingga 5.3 peratus bagi 2026, susulan pengembangan ekonomi sebanyak 5.5 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata ahli ekonomi.

Kementerian Kewangan menerusi laporan Tinjauan Ekonomi 2027, menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2026 kepada 4.8 hingga 5.3 peratus, berbanding unjuran 4.0 hingga 4.5 peratus dalam Belanjawan 2026.

Prof Dr Yeah Kim Leng, pengarah program kajian ekonomi di Jeffrey Cheah Institute, Universiti Sunway berkata pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga membuktikan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik serta kejutan harga minyak global yang berterusan.

“Dengan pertumbuhan mencecah 5.5 peratus dalam tiga suku pertama, ekonomi berada di landasan untuk mengatasi jangkaan pertumbuhan KDNK rasmi bagi keseluruhan tahun, iaitu antara 4.8 hingga 5.3 peratus,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata pertumbuhan menyederhana sedikit berbanding suku sebelumnya, namun kekal bertahan meskipun berdepan dengan persekitaran luaran yang mencabar. 

“Satu perkembangan menggalakkan ialah sektor pembuatan mencatatkan kemajuan yang baik, menunjukkan permintaan eksport yang berterusan bukan sahaja bagi produk elektronik dan optikal bernilai tinggi, malah bagi produk kimia, plastik, dan getah berasaskan sumber yang mempunyai nilai tambah domestik lebih tinggi,” katanya.  

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi terkini KDNK itu merupakan satu kejutan positif, dengan pertumbuhan berpotensi mencatatkan angka yang lebih tinggi daripada unjuran semasa.

“Pada kadar 5.3 peratus, ekonomi Malaysia dilihat berkembang mengatasi purata alirannya sekitar 4.7 peratus,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata minat positif dalam kalangan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, serta permintaan yang lebih tinggi terhadap sektor berkaitan teknologi, telah membantu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

Guna tenaga penuh juga membantu mengekalkan perbelanjaan pengguna yang stabil, memandangkan inflasi kekal terkawal dengan baik, katanya.

Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan dalam laporan anggaran awalnya bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi tempoh tiga suku pertama 2026, ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus, lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2025.

 

Pertumbuhan permintaan domestik, E&E dijangka kekal 

 

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 5.4 peratus dengan model autoregresi dan indeks ekonomi utama bank itu memaparkan momentum pertumbuhan berterusan pada kadar 5.0 hingga 5.2 peratus bagi separuh kedua 2026.

“Pertumbuhan kukuh 5.7 peratus bagi separuh pertama 2026 serta angka pertumbuhan 5.3 peratus yang diumumkan hari ini juga sejajar dengan apa yang kami jangkakan, sekali gus mengukuhkan lagi unjuran kami.

“Melangkah ke hadapan, aktiviti ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal kukuh,” maklum bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB IB berkata perbelanjaan swasta juga dijangka kekal kukuh, didorong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang sihat, pertumbuhan pendapatan yang berterusan serta pelarasan gaji penjawat awam.

Selain itu, pelaburan swasta juga dijangka kekal berdaya tahan, dipacu oleh projek-projek infrastruktur, pembangunan pusat data yang dilaksanakan serta peluasan kapasiti dalam sektor pembuatan.

“Aspek pendigitalan berterusan, automasi dan permintaan global yang menggalakkan pula dijangka berupaya merangsang pelaburan selanjutnya, terutama dalam sektor pembuatan serta teknologi maklumat dan komunikasi,” menurut bank itu.

Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank Bhd juga mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun penuh 2026 pada 5.3 peratus walaupun anggaran awal yang mengatasi jangkaan itu menunjukkan wujud kecenderungan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada unjuran awal.

Sehubungan itu, sebarang semakan semula akan bergantung kepada data September serta pengumuman KDNK penuh.

“Permintaan domestik sepatutnya memacu pertumbuhan dalam separuh kedua 2026, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, aktiviti perkhidmatan yang kukuh serta pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.

“Pelaksanaan projek yang telah mendapat kelulusan, peningkatan pendapatan isi rumah serta pasaran buruh yang kukuh turut menyuntik sokongan tambahan,” maklum bank pelaburan itu.

Kenanga juga menjangkakan sektor pengeluaran menjadi pemacu utama susulan permintaan E&E yang kekal berdaya tahan dan pengembangan pusat data walaupun pertumbuhan berkemungkinan perlahan apabila usaha penghantaran awal sebelum ini semakin berkurangan.

 

Risiko luaran kekal, OPR dijangka tidak berubah

 

Mohd Afzanizam berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan kejutan luaran terutama perang yang berterusan di Iran, yang dijangka menjejaskan rantaian bekalan global dan kos bahan api.

Beliau berkata langkah proaktif kerajaan seperti pemberian subsidi bahan api bersasar melalui MyKad sejak tahun lepas selain kecekapan yang diperlihatkan oleh Petroliam Nasional Bhd untuk mendapatkan bekalan bahan api melalui laluan selain Selat Hormuz, membolehkan operasi ekonomi negara masih berjalan lancar.

Bagaimanapun, menurut RHB IB ketegangan geopolitik di Asia Barat, ketidaktentuan harga komoditi dan perubahan dasar perdagangan menimbulkan risiko terhadap prospek ekonomi.

“Ketegangan yang berpanjangan dan harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan selain menjejaskan permintaan global,” menurutnya.

Dalam perkembangan lain, CIMB Treasury and Markets Research memaklumkan prestasi lebih kukuh pada suku ketiga menunjukkan angka itu melebihi unjuran pertumbuhan 5.0 peratus bagi 2026, yang akan disemak semula selepas pengumuman penuh data KDNK suku ketiga pada November.

“Permintaan luaran yang lebih tinggi terus menyokong prospek sektor pembuatan terutama industri E&E, dengan pengeluar melaporkan tempahan yang meliputi tempoh lebih panjang,” menurutnya.

Walaupun prospek pertumbuhan KDNK lebih baik daripada jangkaan, CIMB mengekalkan unjurannya bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada November berikutan isyarat aktiviti ekonomi domestik yang semakin sederhana dan inflasi terkawal.

RHB IB turut menjangkakan OPR kekal pada paras 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada November, dan menurutnya keadaan ekonomi semasa dan trajektori inflasi menyokong pendirian dasar monetari yang secara umumnya stabil.

Menurut DOSM KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun ketiga 2026 akan diterbitkan pada 18 Nov 2026.  

-- BERNAMA