Am 16/10/2026 11:41 PM

AJS Niaga Muncul Juara ABGC Grand Final Di Langkawi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AJS Niaga Muncul Juara ABGC Grand Final Di Langkawi
Kredit: ABGC

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pasukan AJS Niaga yang diwakili Mohamad Azim Syahmi dan Sharul Nizam Mohamed muncul juara kategori gross pada Grand Final Kejohanan Golf Business Asia (ABGC) 2026 selepas mencatat 70 pukulan dalam pertandingan yang menggunakan format two-ball best-ball.

Kejohanan anjuran Elora Global di bawah naungan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu berlangsung di The Els Club Teluk Datai, Langkawi, semalam, dengan penyertaan 90 pemain yang bertanding dalam kategori gross dan nett.

Pasukan AJS Niaga membawa pulang trofi serta barangan tajaan Panasonic Malaysia.

Tempat kedua kategori gross menjadi milik pasangan Datuk Shamsul Azman Mahadi dan Mohamad Hisham Sarjeet Abdullah dari Insight Alliance Capital Sdn Bhd dengan catatan 71 pukulan, manakala tempat ketiga diraih pasangan Megat Shariffudin Shaharuddin dan Md. Khairul Sarbany@Sulaiman dari Infrasel yang turut mencatat 71 pukulan, namun tewas berdasarkan kiraan countback (OCB).

Dalam kategori nett, pasangan Nur Misuari Abd. Rahman (handikap 5) dan Abi Sufyan Zainudin (handikap 2) dari Dsevenfour Ventures muncul juara dengan catatan 66 pukulan.

Tempat kedua menjadi milik pasangan Datuk Danion Lewis dan Gipson Lewis dari Elizon Construction Sdn Bhd yang mencatat 67 pukulan, ketinggalan satu pukulan di belakang juara.

Semua pemenang menerima hadiah tajaan Bridgestone dan Panasonic Malaysia serta trofi.

Sementara itu, Pengerusi ABGC Datuk Mohd. Salim Mohamed Sain berkata beliau bersyukur dengan sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang penganjuran kejohanan itu, merangkumi tujuh pusingan kelayakan sebelum kemuncaknya menerusi Grand Final di Langkawi.

“Alhamdulillah, tujuh pusingan Kejohanan Golf Business Asia 2026 berjaya dilaksanakan, bermula daripada ilham Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan The Els Club Teluk Datai, Langkawi menjadi lokasi Grand Final.

“Grand Final di The Els Club Teluk Datai mendapat sambutan menggalakkan, bukan sahaja daripada peserta kejohanan, malah kumpulan pemilik kereta super, penaja dan pihak media,” katanya kepada pemberita.

Mohd. Salim berkata penyertaan peserta dari China, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Indonesia pada Grand Final itu turut membanggakan pihak penganjur.

Beliau berkata selain menyertai kejohanan golf, peserta antarabangsa berkenaan turut berpeluang meneroka prospek pelaburan perniagaan di Malaysia, di samping membina jaringan persahabatan dan hubungan perniagaan dengan pemain serta wakil syarikat tempatan.

Menurutnya, kerjasama erat yang ditunjukkan semua peserta, sama ada dari syarikat tempatan mahupun luar negara, menjadi dorongan kepada Elora Global untuk meneruskan penganjuran kejohanan itu pada tahun depan.

“Kita juga merancang untuk mengadakan edisi antarabangsa dan cadangan itu mendapat sambutan baik serta persetujuan selepas perbincangan diadakan dengan wakil dari Vietnam,” katanya.

-- BERNAMA