Am 16/10/2026 11:23 PM

55 Mangsa Ribut Di Larut, Matang Dan Selama Masih Berlindung Di PPS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
55 Mangsa Ribut Di Larut, Matang Dan Selama Masih Berlindung Di PPS
Kredit: APM Perak

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa dan keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) kekal 55 orang daripada 20 keluarga setakat malam ini.  

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan kesemua mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang yang dibuka sejak Rabu lepas.

Penduduk terjejas adalah dari Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang.  

"Untuk makluman pemantauan yang dilakukan oleh anggota (APM) LMS, air semakin surut dan tiada keperluan PPS dibuka, jumlah mangsa dan keluarga di PPS akibat kejadian ribut tempoh hari kekal," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM LMS memaklumkan pemantauan berkala turut digerakkan di beberapa lokasi berisiko banjir di daerah berkenaan susulan limpahan air di kawasan rendah.

Menurut PKOD APM LMS, pemantauan di Kampung Kubu Hilir dalam Mukim Bukit Gantang mendapati paras air sungai naik tetapi tidak melimpah, meskipun laluan jalan kampung dinaiki air dan sebuah rumah dimasuki air dengan keadaan cuaca semasa dilaporkan baik.

Bagi Mukim Batu Kurau, tinjauan anggota keselamatan di Kampung Ulu Sepetang dan laluan SK Ulu Sepetang mendapati keadaan air semakin surut, manakala cuaca hujan rintik.

Terdahulu, lebih 35 buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan susulan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan sekitar daerah LMS selama kira-kira sejam pada petang Rabu lepas.

Cuaca buruk itu dilaporkan telah menyebabkan bumbung beberapa rumah penduduk diterbangkan angin, selain kejadian pokok tumbang di beberapa kampung sekitar Mukim Matang.

-- BERNAMA