Am 16/10/2026 05:01 PM

PM Anwar Dijadual Pengerusikan Mesyuarat Berkait Pengurusan Jerebu Isnin Ini - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Dijadual Pengerusikan Mesyuarat Berkait Pengurusan Jerebu Isnin Ini - Fahmi

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Pusat pada Isnin ini, bagi membincangkan isu berkaitan jerebu, termasuk penyelarasan tindakan antara kementerian dan perkembangan situasi kebakaran di Indonesia.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata mesyuarat itu akan turut memberi tumpuan kepada langkah menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam, pembukaan sekolah dan aktiviti sukan luar bangunan dengan penglibatan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Isnin ini akan diadakan satu mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, antara lain isu jerebu akan dibincangkan. Beberapa maklumat lanjut akan disusuli daripada mesyuarat pada Isnin nanti, termasuk daripada pihak KKM, KPM dan KBS,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai keperluan penyelarasan lebih menyeluruh antara kementerian berkaitan bagi menangani kesan jerebu, khususnya berkaitan aktiviti sukan di luar bangunan dan pengoperasian sekolah.

“Pihak KPM dan KKM telah memaklumkan Jemaah Menteri bahawa garis panduan yang diguna pakai adalah berlandaskan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang berkuat kuasa pada waktu ini,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan situasi kebakaran di Indonesia dan penyaluran bantuan oleh Malaysia, Fahmi berkata terdapat beberapa aspek penyelarasan masih perlu diperincikan sebelum tindakan susulan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata kebakaran yang semakin meluas turut memerlukan penilaian semula terhadap tawaran bantuan dan aset yang dikemukakan Malaysia kira-kira sebulan lepas bagi memastikan bantuan berkenaan benar-benar memenuhi keperluan semasa.

“Isunya, api telah mara dengan agak meluas. Jadi apa-apa bentuk bantuan dan aset yang ditawarkan sejak mungkin sebulan yang lalu, sekarang mungkin perlu dinilai semula untuk memastikan bantuan itu benar-benar mencapai maksud.

“Jadi perbincangan susulan akan dibuat, namun setakat ini belum ada maklumat terperinci ataupun khusus mengenai apa aset yang akan dihantar,” katanya.

-- BERNAMA