Am 16/10/2026 08:13 PM

Unjuran KDNK Suku Ketiga Kukuh, Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Unjuran KDNK Suku Ketiga Kukuh, Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2026 bagi Malaysia yang mengatasi jangkaan awal.

Pada 6 petang, ringgit naik ke paras 4.0795/0835 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0800/0835, semalam.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Anggaran (KDNK) bagi Suku Ketiga 2026, memaklumkan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam memberitahu Bernama, pengumuman itu menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.

“Bukan mustahil jika pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun ini turut mengatasi unjuran semasa sebanyak 4.8 peratus hingga 5.3 peratus memandangkan pertumbuhan KDNK bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 sudah mencecah 5.5 peratus.

“Kami juga mengunjurkan jangkaan normalisasi Kadar Dasar Semalaman (daripada penurunan awal pada Julai 2025) semakin ketara berdasarkan trajektori pertumbuhan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5831/5895 daripada 2.5869/5892 semalam namun rendah berbanding euro kepada 4.5911/5956 daripada 4.5761/5801 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4396/4449 daripada 5.4101/4147.

Berbanding mata wang ASEAN lain, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.3/226.6 daripada 227.4/227.7 namun rendah berbanding peso Filipina kepada 6.48/6.49 daripada 6.47/6.48.

Ringgit juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1889/1922 daripada 3.1818/1848 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2101/2268 daripada 12.1758/1914.

-- BERNAMA