Am 16/10/2026 11:44 PM

Pemantauan Menerusi MyProjek Dipertingkat, Elak Projek Lewat Siap Di Sabah, Sarawak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemantauan Menerusi MyProjek Dipertingkat, Elak Projek Lewat Siap Di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pemantauan berkala pelaksanaan projek di Sabah dan Sarawak menerusi sistem MyProjek terus dipergiat bagi memastikan tiada lagi projek pembangunan tertangguh seperti yang berlaku pada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 1 dan Pakej 2.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata kelewatan pelaksanaan projek LPB melibatkan jajaran dari Beaufort ke Sipitang di Sabah itu didedahkan dalam laporan audit, yang dibahaskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata berdasarkan taklimat, kelewatan itu berpunca daripada masalah penyediaan tapak serta beberapa isu lain, justeru, menggesa agar pelaksanaan projek berkenaan dipercepat kerana ia telah berlarutan hampir lapan tahun hingga mengakibatkan peningkatan kos.

"Jadi, saya mengharapkan dengan adanya penemuan audit ini, semua pihak dapat duduk (berbincang) untuk mencari jalan penyelesaian kerana projek ini penting," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Merealisasikan Belanjawan 2027' di Bernama TV malam ini.

Beliau berkata pemantauan projek sebenarnya dilakukan pada setiap peringkat, termasuk di tapak projek, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, JKR negeri dan kementerian, namun masalah yang timbul di sepanjang laluan sukar dijangka, terutama apabila melibatkan pembinaan laluan baharu.

“Sehubungan dengan itu, kita memerlukan koordinasi lebih baik dan yang penting, kita perlu mengambil pengajaran daripada teguran audit ini, jangan sampai berulang kembali,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM3.3 bilion bagi menyelesaikan isu kelewatan dan mempercepat pembinaan LPB, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi baharu.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata pembinaan LPB itu sangat penting kerana memberi impak besar kepada Sabah dan Sarawak, terutama dari segi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

"Di kawasan saya, ada tiga pakej LPB merentasi Parlimen Sepanggar dan kalau dilihat kampung yang berdekatan dengan laluan LPB, kawasan itu semakin membangun dengan adanya pusat komersial baharu.

“Pembinaan LPB juga dijangka merancakkan sektor pelancongan di kedua-dua negeri. Sekarang ini pun, tanpa LPB, sudah ramai pelancong dari Brunei datang ke Miri dan seterusnya ke Sabah. Jadi, dengan siapnya LPB itu nanti, saya fikir ia akan meningkatkan mobiliti antara beberapa wilayah, termasuk Kalimantan,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata peruntukan RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak masih belum mencukupi, namun mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebahagian sekolah berkenaan.

Beliau berkata isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dijangka dapat diselesaikan secara menyeluruh dalam tempoh tertentu, selepas masalah laluan perhubungan ke sekolah di kawasan pedalaman turut ditangani.

Menurutnya, penggandaan biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk 4,200 anak Sabah dan Sarawak, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200, bantuan khas murid pendidikan khas ditingkatkan kepada RM200 sebulan serta elaun sara hidup pelajar tingkatan enam sebanyak RM2,500 setahun pula merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan sektor pendidikan negara.

"Penggandaan biasiswa JPA antara perkara yang dirunding dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang mana kedua-dua negeri memohon agar biasiswa ini diperluas kepada anak Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata peruntukan bagi sektor pendidikan itu jelas menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI mengambil berat kebajikan pelajar di Sabah dan Sarawak, dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga tingkatan enam serta universiti.

-- BERNAMA