Am 16/10/2026 08:32 PM

Perhilitan Perak Pantau Gajah Liar Di Bukit Bangkong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perhilitan Perak Pantau Gajah Liar Di Bukit Bangkong
Pekebun Omar Abdullah 70, menunjukkan pokok yang tumbang akibat gangguan gajah liar ketika ditemui di Bukit Bangkong di sini, hari ini. Persatuan Pengusaha-Pengusaha Tanah Pertanian Bukit Bangkong, Chemor merayu tindakan segera pihak berkuasa bagi menangani masalah gajah liar yang menceroboh kebun serta memusnahkan tanaman dan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan sejak 27 Sept lalu. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengambil tindakan susulan berdasarkan penilaian risiko berhubung dakwaan kehadiran gajah liar yang menceroboh kawasan kebun di Bukit Bangkong, Chemor, sejak 27 Sept lepas.

Pengarahnya, Dr. Pazil Abdul Patah, berkata langkah yang dilaksanakan termasuk pemantauan dan kawalan pada waktu malam serta pemberian khidmat nasihat keselamatan kepada pengusaha kebun yang terjejas.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan gajah yang dikesan di kawasan kebun berkenaan dianggarkan terdiri daripada dua hingga tiga ekor, berdasarkan penemuan beberapa tapak kaki dan kesan aktiviti mencari makan oleh haiwan itu.

“Perhilitan memandang serius aduan yang diterima dan tindakan susulan dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko serta keadaan sebenar di lokasi,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa 12 pekebun yang merupakan anggota Persatuan Pengusaha-Pengusaha Tanah Pertanian Bukit Bangkong merayu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah gajah liar yang menjejaskan kira-kira 9.7 hektar kawasan pertanian mereka.

Kehadiran mamalia berkenaan dikesan sebanyak tiga kali, iaitu pada 27 Sept, 3 Okt dan 11 Okt lepas, sejak kawasan pertanian berkenaan mula diusahakan pada 2018.

Sementara itu, Pazil berkata pekebun yang terjejas disaran mengemukakan permohonan di bawah Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) bagi membantu meringankan beban akibat kerosakan tanaman dan kerugian harta benda.

Beliau berkata permohonan itu boleh disertakan dengan maklumat serta dokumen sokongan, termasuk bukti pemilikan kebun, gambar kerosakan, anggaran kerugian dan laporan kejadian, untuk dikemukakan kepada Perhilitan.

Bagaimanapun, sebarang bayaran atau pampasan adalah tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa berkaitan.

Mengenai cadangan pemindahan gajah liar ke lokasi lain bagi menangani konflik berkenaan, Pazil berkata langkah translokasi tidak dilaksanakan secara automatik, sebaliknya memerlukan penilaian teknikal yang menyeluruh, termasuk penilaian terhadap tahap ancaman kepada keselamatan manusia.

-- BERNAMA