KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 53 pegawai Parlimen setakat ini bersetuju menyertai skim perkhidmatan baharu susulan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) pada 1 Okt lepas yang mengembalikan autonomi pentadbiran perkhidmatan institusi itu selepas lebih tiga dekad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jumlah itu merangkumi 34 pegawai Dewan Rakyat, 12 pegawai Dewan Negara dan tujuh pegawai Bahagian Penyelidikan.
Beliau berkata pegawai sedia ada diberikan pilihan sama ada untuk menyertai skim baharu atau kekal dalam skim perkhidmatan masing-masing dan mereka diberi tempoh hingga 15 Jan 2027 untuk membuat keputusan.
“Peralihan ini penting bagi memastikan autonomi Parlimen bukan hanya wujud dari segi perundangan, tetapi dapat diterjemahkan melalui pentadbiran dan pengurusan sumber manusia yang lebih berkesan,” katanya pada Sesi Penerangan berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai MPP, katanya ia akan dipengerusikan bersama oleh Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dengan keanggotaan merangkumi kepimpinan kedua-dua Dewan, wakil Ahli Parlimen, pegawai kanan Parlimen serta tiga ahli “ex-officio”.
Majlis itu turut dibantu Ketua Pentadbir Parlimen dan tiga jawatankuasa khusus yang menguruskan kenaikan pangkat, tatatertib serta rayuan perkhidmatan.
Di bawah Seksyen 4, Azalina berkata MPP bertanggungjawab mengurus pelantikan anggota perkhidmatan, menentukan terma dan syarat perkhidmatan, mengawasi kewangan, membangunkan latihan serta mengurus hal ehwal perkhidmatan Parlimen.
“Matlamatnya jelas, Parlimen mesti mempunyai keupayaan institusi untuk mengurus pentadbirannya sendiri dengan cekap, profesional dan berintegriti.
“Satu perkara yang sangat penting yang ingin saya tegaskan ialah Majlis Perkhidmatan Parlimen ini bukan milik kerajaan semata-mata tetapi satu institusi yang berkhidmat untuk seluruh Parlimen,” katanya.
Pada Selasa lepas, Jawatankuasa Pemilih mencadangkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) untuk menganggotai majlis itu sebagai wakil kerajaan manakala Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mewakili pembangkang.
Penamaan empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan mendapat persetujuan Dewan semalam menerusi usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis.
Bagi Dewan Negara, Azalina berkata Jawatankuasa Pemilih dijadual bermesyuarat pada hujung November ini sebelum mengemukakan usul penamaan dua anggota untuk dipertimbangkan pada hari pertama persidangan Dewan Negara.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berharap pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen dapat terus memperkasakan fungsi Parlimen dalam membuat undang-undang, melaksanakan peranan semak dan imbang serta mewakili rakyat.
“Semoga Majlis Perkhidmatan Parlimen yang baru ini menjadi lambang kematangan demokrasi dalam negara kita, satu legasi penting untuk generasi yang akan datang. Tahniah kepada semua yang akan menjadi Ahli Majlis,” katanya selepas sesi penerangan tersebut.
-- BERNAMA