PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Fasiliti Makmal Biokeselamatan Haiwan Kelas III (ABSL-III) di National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dijangka mula beroperasi pada Januari 2027, manakala fasiliti Amalan Pengilangan Baik (GMP) disasarkan beroperasi pada Julai tahun sama.
Perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Fraterniti Vaksin 2026 yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, bertujuan meneliti kemajuan pembangunan ekosistem vaksin negara dan memperkukuh kerjasama antara pihak berkepentingan.
Chang dalam kenyataan hari ini berkata pembangunan fasiliti NIBM dan kajian kebolehlaksanaan Kerangka Pengkomersialan Vaksin Manusia (KKVM) merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan, merangkumi penyelidikan, pengeluaran dan pengkomersialan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman penyakit berjangkit.
"Kajian itu bertujuan menilai pendekatan yang bersesuaian untuk menghubungkan hasil penyelidikan dan pembangunan teknologi dengan pengeluaran vaksin serta akses pasaran, dengan mengambil kira keperluan industri dan tahap kesediaan ekosistem vaksin negara," katanya.
Chang berkata pembangunan fasiliti NIBM dan kajian KKVM merupakan antara usaha yang menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dengan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Usaha ini bertujuan membangunkan keupayaan vaksin tempatan secara menyeluruh dan meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit," katanya.
-- BERNAMA