Dunia 16/10/2026 12:00 AM

Kerjasama Akademia-Industri Pacu Inovasi, Peluang Baharu Industri Halal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerjasama Akademia-Industri Pacu Inovasi, Peluang Baharu Industri Halal
Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) Datuk Jefridin Atan (ketiga dari kanan) dan Dekan Kolej Antarabangsa Universiti Burapha (BUUIC) Prof Madya Dr Krittipat Pitchayadejanant (kedua dari kiri) menghadiri majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Islam dan Ekonomi Halal keempat (ICIHES) di Chonburi, Thailand.

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara ahli akademik dan pemain industri halal penting untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada produk inovatif dan peluang perniagaan baharu termasuk pelancongan mesra Muslim, kata seorang ahli akademik.

Dekan Kolej Antarabangsa Universiti Burapha (BUUIC) di Thailand, Prof Madya Dr Krittipat Pitchayadejanant berkata persidangan antarabangsa menjadi medan strategik untuk menyatukan dua kumpulan itu - ahli akademik dan penyelidik dengan usahawan serta pakar industri.

Beliau berkata Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengajian Ekonomi Islam dan Halal (ICIHES)  merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala antara institusi pengajian tinggi Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun dan Thailand.

"Menerusi pemeteraian perjanjian kerjasama strategik yang dirancang, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan perniagaan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat serta rantau ini secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan mewakili Presiden Universiti Burapha sempena majlis perasmian ICIHES Ke-4 di Chonburi, Thailand, Khamis.

Pada majlis itu, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BUUIC  turut menandatangani Surat Hasrat (LOL) untuk menjalin kerjasama strategik dalam industri halal.

Persidangan anjuran bersama Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Universiti Burapha menerusi BUUIC dan Dana Endowmen Ekonomi Halal (DEEH), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Persidangan dua hari itu berlangsung secara fizikal dan dalam talian, dengan program hari pertama di Chonburi sebelum diteruskan di Universiti Burapha pada Jumaat. 

Selain Malaysia dan Thailand, negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Singapura, Jepun dan Filipina, manakala peserta dari India, Pakistan dan Nigeria menyertainya secara dalam talian.

Krittipat berkata kerjasama antarabangsa turut menyokong pemerkasaan ekonomi tempatan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Langkah ini mencerminkan pegangan kami bahawa kerjasama peringkat antarabangsa bukan sahaja bertujuan memajukan ilmu pengetahuan, malah perlu memberi impak sosial positif yang nyata serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang inklusif dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA