Am 15/10/2026 06:06 PM

6,363 Permohonan Kewarganegaraan Masih Dalam Pertimbangan - KDN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
6,363 Permohonan Kewarganegaraan Masih Dalam Pertimbangan - KDN
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 6,363 permohonan kewarganegaraan masih dalam proses pertimbangan bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 September lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 16,338 permohonan kewarganegaraan diterima, manakala 4,583 permohonan diluluskan dengan sijil kewarganegaraan dikeluarkan kepada pemohon.

“Setiap permohonan akan diteliti dan dipertimbangkan secara menyeluruh berdasarkan fakta kes, maklumat, dokumen serta bukti sokongan yang dikemukakan pemohon mengikut giliran sewajarnya sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Proses ini memerlukan penelitian terperinci dan tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pengeluaran sebarang keputusan,” katanya ketika menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai status permohonan kewarganegaraan dan permit masuk pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai permohonan kewarganegaraan melalui kaedah naturalisasi, Shamsul Anuar berkata, kemudahan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan itu boleh dipertimbangkan bagi kategori tertentu, termasuk individu dewasa yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Beliau berkata kemudahan itu boleh dipertimbangkan bagi individu berusia 21 tahun ke atas yang sebelum ini tidak berpeluang memperoleh kewarganegaraan Malaysia dan berdepan kesukaran memenuhi syarat pemastautinan, tertakluk kepada kriteria serta syarat yang ditetapkan.

Antara syarat permohonan ialah bermastautin di Persekutuan sekurang-kurangnya 10 tahun dalam tempoh 12 tahun sebelum permohonan dibuat, termasuk tempoh 12 bulan terakhir. Pemohon juga perlu berniat untuk menetap secara tetap di Malaysia, berkelakuan baik serta mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi.

Pemohon dalam kategori berkenaan turut perlu memperoleh Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) dan memegangnya sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mengemukakan permohonan.

-- BERNAMA