Am 15/10/2026 06:54 PM

Anwar Mahu Projek Residensi Siswa UM Jadi Model Pembangunan Bebas Ketirisan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Mahu Projek Residensi Siswa UM Jadi Model Pembangunan Bebas Ketirisan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya di Kolej Kediaman 5, Universiti Malaya hari ini. Turut sama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) dijadikan model pengurusan pembangunan yang bersih, cekap dan bebas daripada ketirisan serta pembaziran dana awam.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu perlu mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan projek terdahulu yang menyaksikan peningkatan kos, kelewatan dan pembinaan terbengkalai sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.

“Berapa banyak dana negara itu terbazir, bocor kerana pengurusannya lemah. Jadi, Naib Canselor, pastikan UM dan projek Residensi Siswa ini contoh yang patut diteladani oleh agensi-agensi lain. 

“Anda boleh melaksanakan tugas dengan cemerlang, bersih, bebas daripada rasuah serta penuh dedikasi. Ini cabaran sebenar bagi kita,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Anwar berkata projek berkenaan merupakan tanggungjawab besar perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, selain menuntut komitmen semua pihak yang terlibat untuk memastikan ia disiapkan mengikut perancangan.

Beliau berkata isu ketirisan bukan berpunca daripada perbezaan kaum, wilayah atau kelas masyarakat, sebaliknya berkait dengan perbuatan tidak amanah yang menjejaskan kepentingan negara.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memantau sendiri pelaksanaan projek berkenaan serta mahu ia disiapkan lebih awal daripada jadual asal pada 2030 bagi menangani masalah penginapan mahasiswa, khususnya peningkatan kadar sewa rumah di kawasan sekitar universiti.

Bagi memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan, Anwar berkata beliau mengarahkan semua jentera kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi keutamaan kepada projek berkenaan.

“Ini projek keutamaan kita yang mesti disiapkan dalam masa cepat. Bila saudara (Azuan) kata siap 2030, saya kata tidak. Inilah Kerajaan MADANI baharu yang cekap. Nanti kita akan cuba melaksanakan supaya dipercepatkan,” katanya.

Pelaksanaan Projek Residensi Siswa UM menyokong agenda kerajaan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi menangani keperluan penginapan mahasiswa menerusi infrastruktur lebih terancang, selesa dan bersesuaian dengan keperluan semasa.  

Projek pembangunan yang dirancang untuk menampung seramai 40,000 mahasiswa itu akan dilaksanakan secara berfasa, bermula Fasa Satu bagi menyediakannya kepada 10,000 pelajar sebelum diteruskan dengan Fasa Dua bagi kapasiti tambahan 30,000 pelajar.  

Residensi itu akan menawarkan empat kategori penginapan iaitu Standard dengan lima bilik bagi 10 penghuni, Standard Premium dengan tiga bilik bagi enam penghuni, Apartment dengan dua bilik bagi tiga penghuni serta Studio untuk seorang penghuni dengan semua unit dirancang dilengkapi kemudahan penyaman udara.

Projek itu juga dirancang berteraskan konsep community living, yang menggabungkan fungsi kediaman dengan ruang interaksi sosial dan aktiviti komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pembentukan sahsiah, hubungan sosial dan semangat kebersamaan, sekali gus memperkaya pengalaman mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Sementara itu, Adam Adli ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata inisiatif tersebut diharap dapat menjadi antara penyelesaian jangka panjang dan mampan untuk isu berkaitan dengan kediaman siswa. 

Beliau berkata kerajaan juga komited memastikan projek berkenaan berjalan lancar menerusi pendekatan fast-track tanpa mengabaikan aspek integriti serta tatacara pengurusan. 

“Projek ini bermula di UM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan berikutnya Fasa Dua. Saya percaya kita boleh tingkatkan program di universiti-universiti lain,” katanya.

Terdahulu, Azuan dalam ucapannya berkata pembangunan Residensi Siswa mencerminkan keutamaan universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian seiring dengan usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kecemerlangan pendidikan tinggi tanpa memberikan perhatian kepada realiti kehidupan mahasiswa. Keperluan kediaman yang selesa, selamat dan sesuai dengan kemampuan mereka perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan pembangunan universiti.

“Melalui Residensi Siswa, UM mahu memastikan pembangunan kampus bukan sekadar tertumpu kepada infrastruktur akademik, tetapi turut memberikan manfaat yang nyata kepada kehidupan seharian mahasiswa,” katanya.

-- BERNAMA