Ekonomi 13/10/2026 07:26 PM

Bahagian Awam IPO RedPlanet Terlebih Langgan 85.28 Kali 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bahagian Awam IPO RedPlanet Terlebih Langgan 85.28 Kali 

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) RedPlanet Bhd mencatat terlebih langgan sebanyak 85.28 kali untuk orang awam Malaysia dengan sebanyak 7,031 permohonan bagi 1.77 bilion saham bernilai kira-kira RM336.72 juta.

Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perusahaan yang mengkhusus dalam penyelesaian geospatial dan sistem rel pintar itu dijadual memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Okt 2026.

RedPlanet dalam kenyataan hari ini memaklumkan IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 70 juta saham biasa baharu, termasuk 20.54 juta saham yang diperuntukkan untuk permohonan orang awam Malaysia.

Menurutnya sebanyak 19.71 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu telah dilanggan sepenuhnya selepas pelaksanaan peruntukan berkaitan bagi penarikan balik dan pengagihan semula saham seperti yang dinyatakan dalam prospektusnya.

Selain itu, tawaran saham persendirian yang merangkumi 11.52 juta saham baharu kepada pelabur terpilih, 18.22 juta saham baharu kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta 10 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan kepada pelabur terpilih juga telah selesai ditempatkan sepenuhnya.

Pengarah Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Lian Wah Seng berkata sambutan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan, keupayaan teknikal dan prospek pertumbuhan jangka panjang RedPlanet.

“Sokongan daripada komuniti pelaburan mengukuhkan komitmen kami untuk meluaskan lagi penyelesaian geospatial dan sistem rel pintar, meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek serta terus menyediakan penyelesaian berasaskan teknologi kepada pelanggan dalam persekitaran operasi kritikal,” katanya.

Lian berkata pemindahan penyenaraian itu merupakan langkah penting dalam perjalanan korporat RedPlanet.

“Dengan platform pasaran awam yang meluas, kami berhasrat meningkatkan kebolehlihatan syarikat dalam pasaran, memperluas asas pelabur dan meletakkan syarikat pada kedudukan yang lebih baik untuk fasa pertumbuhan seterusnya sebagai penyedia penyelesaian ICT perusahaan yang mempunyai kepakaran khusus dalam aplikasi geospatial dan teknologi keselamatan rel,” katanya.

UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO serta pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE.

-- BERNAMA