Am 13/10/2026 07:20 PM

MPBP Tawar 118 Hadiah Bernilai RM100,000 Kepada Pembayar Cukai Harta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MPBP Tawar 118 Hadiah Bernilai RM100,000 Kepada Pembayar Cukai Harta
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Mohd Nazid Jasiman bersama tiga pemenang utama cabutan bertuah Kempen Yok Bayar Dan Menang Cukai Harta 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-25 MPBP di Menara MPBP, hari ini.

BATU PAHAT, 13 Okt (Bernama) -- Sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 Prime bernilai lebih RM50,000 menjadi hadiah utama cabutan bertuah anjuran Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) menerusi Kempen ‘Yok Bayar dan Menang Cukai Harta Tahun 2026’, bagi menghargai pembayar cukai yang melunaskan tanggungjawab mereka mengikut masa ditetapkan.

Yang Dipertua MPBP Mohd Nazid Jasiman berkata kempen bersempena dengan Karnival 25 Tahun Perbandaran MPBP itu, menawarkan sebanyak 118 hadiah bernilai keseluruhan RM100,000, termasuk dua motosikal elektrik, komputer riba, loket emas dan baucar barangan dapur.

Beliau berkata cabutan bertuah yang julung kali menawarkan hadiah utama berupa kereta itu, turut bertujuan menggalakkan lebih ramai pemilik harta beralih kepada kaedah pembayaran cukai dalam talian.

“Kelainan kempen tahun ini ialah pembayar cukai perlu memenuhi syarat utama iaitu membuat pembayaran menerusi e-billing atau dalam talian, selain tidak mempunyai tunggakan cukai.

“Pelaksanaan kempen ini juga berjaya menggalakkan kira-kira 20 peratus pembayar cukai di kawasan MPBP beralih kepada pembayaran dalam talian, manakala jumlah keseluruhan kutipan cukai direkodkan kira-kira RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Majlis Hi-Tea dan Penyerahan Hadiah Tiga Pemenang Utama Cabutan Bertuah Kempen Yok Bayar dan Menang Cukai Harta Tahun 2026, di Menara MPBP di sini hari ini.

Mohd Nazid berkata daripada kira-kira 83,000 pembayar cukai di kawasan pentadbiran MPBP, sebanyak 17,000 telah beralih kepada kaedah pembayaran dalam talian.

Beliau berkata, mereka berharap kempen seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform berkesan, untuk membudayakan pembayaran cukai mengikut tempoh ditetapkan, selain memperluas penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, pemenang hadiah utama Lim Kim Choon, 60-an, yang diwakili anaknya Lim Yew Jiuan, 38, berkata mereka tidak menyangka pembayaran cukai dalam talian, membolehkan mereka membawa pulang sebuah kereta elektrik.

“Sebelum ini, saya dan ayah tidak pernah terlepas membayar cukai, cuma kali ini saya membuat pembayaran dalam talian dan sekadar mencuba nasib, selepas mengetahui mengenai kempen serta cabutan bertuah anjuran MPBP,” katanya.

Pemenang motosikal elektrik Md Harahap Shahran, 46, pula pada mulanya menyangka panggilan telefon yang memaklumkan kemenangan itu sebagai cubaan penipuan, sebelum mengetahui dirinya benar-benar terpilih sebagai pemenang.

-- BERNAMA