CHUKAI, 13 Okt (Bernama) -- Bangkai seekor penyu agar ditemukan terdampar di Pantai Chakar Hutan di Kerteh, dekat sini semalam.
Pengurus Projek Pemuliharaan Penyu di bawah Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA) Wan Zuriana Wan Sulaiman berkata bangkai penyu agar betina berumur dalam lingkungan 20 tahun itu, ditemukan renjer dan pegawai marin PULIHARA di pantai berkenaan pada 6.30 petang.
Beliau berkata setakat ini pihaknya belum dapat mengenal pasti punca kematian penyu tersebut dan bangkai haiwan itu telah ditanam selepas proses pemeriksaan dan dokumentasi selesai dijalankan.
“Penyu agar itu direkodkan pernah mendarat dan bertelur sebanyak dua kali di Pantai Chakar Hutan pada Ogos lepas, berdasar tag yang dipasang padanya.
“Daripada kedua-dua pendaratan itu, penyu berkenaan menghasilkan 152 biji telur,” katanya ketika dihubungi hari ini dan memaklumkan pihaknya telah melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
-- BERNAMA