KUANTAN, 13 Okt (Bernama) -- Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Malaysian University English Test (MUET) di Pahang akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam kenyataan memaklumkan peperiksaan itu akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang berkuat kuasa.
Jabatan itu memaklumkan calon dan petugas peperiksaan perlu merujuk kepada makluman serta arahan lanjut daripada pihak sekolah, pusat peperiksaan dan saluran rasmi JPN Pahang.
“Murid yang hadir ke sekolah termasuk bagi menduduki peperiksaan yang diteruskan digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah menjaga kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Pahang di Rompin, Pekan dan Kuantan ditutup esok kerana situasi semasa jerebu di daerah tersebut.
Perubahan status pengoperasian dan pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing berdasarkan perkembangan semasa dan tahap keselamatan.
JPN Pahang memaklumkan akan meneruskan pemantauan bersama dengan PPD Rompin, Pekan dan Kuantan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA