Ekonomi 13/10/2026 05:12 PM

Pendidikan Pelaburan Perlu Diperkukuh Bendung Penipuan Digital – Bursa Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pendidikan Pelaburan Perlu Diperkukuh Bendung Penipuan Digital – Bursa Malaysia

ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Pendidikan dan kesedaran pelaburan perlu diperkukuh bagi membantu pelabur membuat keputusan bermaklumat serta mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad’l Mohamed.

Beliau berkata kemudahan mendapatkan maklumat melalui media sosial, aplikasi mudah alih dan platform digital perlu disertai keupayaan menilai kesahihan maklumat, memahami risiko serta mengenal pasti tawaran pelaburan yang meragukan.

“Pelabur berpengetahuan lebih bersedia untuk mengemukakan soalan yang tepat, mengenal pasti tanda-tanda amaran dan membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi dakwaan atau spekulasi,” katanya ketika berucap pada Karnival Saham Kedah anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Fad’l berkata sehingga akhir September lepas, purata nilai dagangan harian pelabur runcit di pasaran ekuiti Malaysia berjumlah kira-kira RM638 juta, manakala Kedah mempunyai kira-kira 57,000 pelabur runcit aktif, bersamaan sekitar dua peratus daripada keseluruhan pelabur runcit aktif negara.

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran modal, yang perlu disertai pengetahuan dan kefahaman mencukupi supaya keputusan pelaburan dibuat secara bertanggungjawab. 

Beliau berkata pendidikan pelabur juga penting untuk meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap penipuan kewangan, termasuk tawaran pelaburan palsu, dakwaan mengelirukan dan manipulasi melalui platform digital.

Program itu merupakan sebahagian daripada penyertaan Bursa Malaysia dalam Minggu Pelabur Sedunia (World Investor Week) menerusi inisiatif Ring the Bell, yang membawa tema tahun ini, Investor Resilience, Digital Deception and Scam Alert.

Tema itu menekankan kepentingan daya tahan pelabur ketika berdepan lambakan maklumat digital, khususnya keupayaan membezakan peluang pelaburan yang sah daripada tawaran yang meragukan.

Fad’l turut mengingatkan pelabur supaya memahami instrumen yang dipilih, menilai risiko dan mengesahkan maklumat sebelum membuat keputusan, selain berwaspada terhadap pihak yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko.

Dalam usaha memperluas pendidikan pelaburan, Karnival Saham dianjurkan sejak 2022 di beberapa negeri dengan kerjasama universiti dan rakan tempatan bagi memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung dengan peserta pasaran serta memahami operasi pasaran modal.

Penganjuran di Kedah turut menyasarkan mahasiswa dan golongan muda yang mula membuat keputusan berkaitan pendapatan, simpanan dan perancangan kewangan masa depan.

Peserta berpeluang berinteraksi dengan broker saham, institusi kewangan dan wakil industri, selain mengikuti sesi perkongsian mengenai produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Program itu turut menyediakan panduan pembukaan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan langkah memulakan pelaburan, selain merangkumi pengurusan kewangan, simpanan, perancangan persaraan, perlindungan sosial, percukaian, pengurusan kredit dan kesedaran penipuan.

-- BERNAMA