KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sebanyak 13 perunding hartanah Muslim menerima pengiktirafan pada Muslim Estate Agent Career Achievement Recognition (MECAR) Awards 2026 anjuran Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM).
Presiden PEHAM Idzwan Izzuddin Shah Ishak berkata penganjuran sulung anugerah itu bertujuan memupuk budaya menghargai usaha, pencapaian, integriti, profesionalisme dan sumbangan ejen hartanah Muslim kepada industri.
“Ia bukan semata-mata tentang trofi atau siapa menang (dan) siapa tidak menang.
“Sebaliknya, kita mahu mewujudkan satu budaya dalam kalangan ejen hartanah Muslim bahawa usaha, pencapaian, integriti, profesionalisme dan sumbangan kepada industri wajar dihargai dan diraikan,” katanya ketika berucap pada MECAR Awards 2026 di sini semalam.
Idzwan Izzuddin Shah berkata pembangunan industri hartanah memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk antara PEHAM dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH).
Beliau berkata sinergi itu penting dalam memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan kompetensi pengamal industri menerusi program seperti Pembangunan Profesional Berterusan, Kursus Persijilan Perunding Hartanah dan Program Pembaharuan Perunding Perejenan Harta Tanah.
Idzwan Izzuddin Shah berharap MECAR Awards akan menjadi tradisi tahunan yang berupaya menjadi inspirasi kepada generasi baharu ejen hartanah Muslim pada masa akan datang.
Mendahului senarai pemenang ialah Mohammad Badrul Hisyam Roslan daripada Renstar Properties International yang meraih tempat pertama bagi kategori Top 10 Muslim REN Malaysia 2026.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Nursyahirah Noridan daripada Legacy Real Property dan Mohd Yasser Ibrahim daripada ERA Realtor.
Bagi kategori Top InfluencerEN 2026, pengiktirafan diberikan kepada Nurrul Syazana Md Jaffary daripada Legacy Real Property dan Muhammad Al Syauqi Mohd Al Atar daripada Maxxan Realty.
Pengurus Hartanah Profesional (PMgr) Ishak Ismail menerima Inspirational Figure Award 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada komuniti dan industri perundingan hartanah.
MECAR Awards 2026 menghimpunkan lebih 300 peserta daripada hampir 30 agensi hartanah dengan sokongan rakan strategik seperti LPEPH, Aqielah, Baskaran and Co, Qarliff and Associates, Nik Safia and Co serta Khamdan and Co.
-- BERNAMA