ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 72 kilogram (kg) kanabis di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan, bulan lepas.
Muhammad Faiz Nazri, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 72,000 gram di tepi jalan selepas Plaza Tol Alor Setar Selatan di sini, kira-kira 6.30 petang, 24 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 2 Feb 2027 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sharmila Md Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan susulan penemuan 72 kg bunga ganja dianggarkan bernilai RM6 juta di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang terlibat kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pada 24 Sept lepas.
-- BERNAMA