KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pertumbuhan gaji susulan Belanjawan 2027 perlu disokong peningkatan produktiviti, pelaburan perniagaan dan penggunaan teknologi bagi mengekalkan daya saing serta mewujudkan pekerjaan berkualiti, menurut CIMB Treasury and Markets Research.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, CIMB memaklumkan selain kenaikan gaji yang diwajibkan, semakan struktur gaji secara menyeluruh serta penawaran imbuhan dan peluang kerjaya yang kompetitif penting untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja berkemahiran ketika perniagaan beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi.
“Pertumbuhan gaji yang berterusan bagaimanapun bergantung pada peningkatan produktiviti menerusi pelaburan dalam kemahiran, peralatan dan proses perniagaan,” menurut CIMB.
Kenaikan gaji minimum itu turut disertai pengecualian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta. Sementara itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) komited menaikkan penanda aras gaji kehidupan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
CIMB memaklumkan pampasan pekerja merangkumi kira-kira 34 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menjadikan peningkatan pendapatan penting bagi memastikan pekerja menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi dengan lebih menyeluruh.
Belanjawan 2027 turut menyokong produktiviti dan daya saing perniagaan menerusi kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan berjumlah RM57 bilion, pelanjutan elaun modal dipercepat bagi peralatan dan perisian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta langkah menggalakkan pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), menurut CIMB.
Dari segi pengurusan fiskal, CIMB memaklumkan kerajaan kekal komited mengurangkan defisit fiskal daripada 3.6 peratus KDNK pada 2026 kepada 3.3 peratus pada 2027 dan 3.0 peratus menjelang 2028, sambil mengekalkan fleksibiliti untuk menangani kejutan ekonomi yang ketara.
“Kepelbagaian sumber hasil kekal sebagai keutamaan, dengan peningkatan kebergantungan terhadap hasil berkaitan petroleum baru-baru ini dilihat sebagai sementara berikutan trend penurunan jangka panjang.
“Perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) merupakan sebahagian daripada usaha meluaskan asas hasil dan mengurangkan kebergantungan terhadap petroleum.
“Penyasaran subsidi seterusnya perlu mengimbangi kemampanan fiskal dengan pendapatan isi rumah serta tekanan kos sara hidup,” menurut CIMB.
Laporan itu turut mengetengahkan pembaharuan tadbir urus, termasuk Akta Perolehan Kerajaan yang dijadual berkuat kuasa pada 2027 serta rancangan menggubal Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan bagi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan awam.
-- BERNAMA