Am 13/10/2026 01:41 PM

JSJK Johor Buka 9,897 Kertas Siasatan Libat Kerugian RM212.64 Juta Setakat September

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JSJK Johor Buka 9,897 Kertas Siasatan Libat Kerugian RM212.64 Juta Setakat September
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada ASP Nurul Zuriana Barik (kanan) dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- Polis Johor membuka sebanyak  9,897 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dengan nilai kerugian berjumlah RM212.64 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad  berkata jumlah itu meningkat sebanyak 3,036 kertas siasatan berbanding 6,861 kes dengan kerugian RM252.57 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata daripada keseluruhan kes itu, lebih 90 peratus ialah kes penipuan secara dalam talian.

“Peningkatan kes ini menuntut tindakan lebih progresif. Kegiatan penipuan kini berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan dunia digital yang semakin canggih,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah kes jenayah indeks di Johor bagi tempoh yang sama meningkat kepada 4,343 kes berbanding 4,152 kes bagi tempoh sama pada 2025.

Beliau berkata jenayah kekerasan merekodkan peningkatan 1,123 kes daripada 981 kes pada tahun lepas manakala jenayah harta benda pula sebanyak 3,220 kes berbanding 3,171 kes pada tahun lepas.

-- BERNAMA