KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan penyerapan pegawai pergigian dan farmasi berstatus kontrak ke jawatan tetap untuk pertimbangan Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri, dalam usaha memastikan masa depan serta kebajikan golongan itu terpelihara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu akan diusahakan dalam tempoh yang munasabah berlandaskan pendekatan yang sebelum ini digunakan bagi menangani isu doktor perubatan kontrak.
“… langkah yang pertama dan bakal disusuli oleh skema perkhidmatan yang lain, iaitu pegawai pergigian dan farmasi,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Merealisasi Belanjawan 2027 Bersama Menteri Kesihatan” malam ini.
Beliau berkata pengambilan pegawai pergigian dan farmasi ke jawatan tetap akan menggunakan kuota baharu yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap doktor perubatan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan dan KKM mempertimbangkan pelantikan tetap bagi pegawai pergigian kontrak, susulan pengumuman pelantikan tetap untuk doktor perubatan.
Dzulkefly ketika mengulas laporan mengenai pegawai pergigian yang kontraknya tamat tanpa diperbaharui berkata KKM akan terus memberi perhatian kepada kebajikan serta pengalaman kerja mereka dalam sistem kesihatan awam.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berharap Kementerian Kewangan mempertimbangkan permohonan peruntukan permulaan kira-kira RM100 juta bagi memperkukuh pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) di peringkat penjagaan kesihatan primer.
Beliau berkata peruntukan itu penting untuk mempertingkat usaha pencegahan, saringan, diagnosis, rawatan dan kawalan berterusan penyakit kronik seperti diabetes serta tekanan darah tinggi.
“Hal yang terkait dengan pengurusan NCD adalah perkara besar yang saya bawa dalam pembaharuan. Di samping PeKa B40 yang mendapat peruntukan RM80 juta, mengurus NCD dari sudut penjagaan kesihatan adalah mustahak untuk pandemik penyakit kronik ini ditangani dengan berkesan.
“Ia merangkumi bukan sahaja saringan peringkat pertama, malah diagnosis, rawatan dan kawalan berterusan bagi penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi,” katanya.
Beliau berkata penandaarasan perbelanjaan per kapita bagi pengurusan NCD turut mengambil kira amalan negara seperti Singapura dan Indonesia, serta trend global yang mengutamakan perkhidmatan kesihatan primer.
-- BERNAMA