KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melancarkan akaun rasmi Naturally Langkawi di platform Xiaohongshu (Rednote) China di Beijing pada Isnin, bagi mempromosikan pulau peranginan itu kepada pelancong China.
Pengurus Pelancongan LADA Waffa Wahida Zainol berkata China kekal sebagai pasaran penting bagi Langkawi, dengan jerayawara berkenaan memberi peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan industri pelancongan di seluruh bandar utama China.
“Menerusi Xiaohongshu, kami dapat berkongsi mengenai Langkawi mengikut gaya pelancong masa kini meneroka dan merasai pengalaman di sesebuah tempat – menerusi penceritaan visual, syor boleh dipercayai dan pengalaman yang sukar dilupakan.
“Kami mahu pelancong China melihat bahawa Langkawi bukan sekadar pulau yang indah. Ia adalah tempat untuk mereka kembali berhubung dengan alam semula jadi, meneroka pengalaman baharu dan akhirnya, merasai semula keindahannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Beijing pada Isnin.
Pelancaran rasmi di Beijing itu disempurnakan secara bersama oleh Waffa, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung dan Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Cina Malaysia (MICA) Datuk Dr Angie Ng.
Pelancaran berkenaan adalah sebahagian daripada penyertaan LADA dalam Misi Jualan Tourism Malaysia ke China yang merangkumi empat bandar raya, iaitu Beijing, Zhengzhou, Wuxi dan Jinan dari 12 hingga 19 Okt.
Menurut kenyataan itu, penyertaan LADA dalam jerayawara berkenaan mencerminkan komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan industri pelancongan China dan meningkatkan kesedaran mengenai Langkawi dalam kalangan pelancong dari negara itu.
Menerusi penglibatan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan penceritaan digital, inisiatif itu bertujuan mempromosikan Langkawi melebihi tarikan tradisional, cuaca panas, pantai dan lautnya.
Promosi berteraskan kempen “Rasakan Semula” itu mengetengahkan keindahan alam semula jadi Langkawi, warisan Geopark Global Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pantai, hidupan liar dan pengalaman tempatan.
LADA memaklumkan pihaknya akan menggunakan Xiaohongshu untuk memaparkan pelbagai pengalaman yang terdapat di Langkawi, bagi membolehkan pelancong China meneroka pulau berkenaan menerusi inspirasi pelancongan, pengalaman terpilih dan kisah tempatan.
-- BERNAMA