KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dilaporkan hanyut di Sungai Chuah, Kajang petang semalam ditangguhkan pada 4.30 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata operasi SAR yang ditangguhkan akibat hujan lebat itu akan disambung esok.
Beliau berkata usaha pencarian dijalankan sejak semalam menggunakan kayak dan bot, selain pencarian di sepanjang tebing sungai.
“Unit anjing pengesan K9 bomba dan anggota Polis Diraja Malaysia turut terlibat dalam usaha mengesan mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JBPM menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang semalam berhubung seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan hanyut di sungai berkenaan sebelum hilang daripada pandangan.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi pada 5.29 petang, kira-kira empat kilometer dari balai berkenaan, sebelum operasi pencarian diperluas dengan bantuan BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.
-- BERNAMA