KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Cadangan penambahbaikan mekanisme penyasaran subsidi bahan api, pemerkasaan pendidikan dan keselamatan sekolah serta kebajikan rakyat antara isu yang dibangkitkan pada hari pertama perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Perbahasan melibatkan 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu turut menyentuh pengurusan fiskal negara, pembangunan ekonomi luar bandar, komposisi kaum dalam perkhidmatan awam serta usaha memperkukuh kemudahan penjagaan kesihatan dan warga emas.
Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme ambang harga minyak yang dinamik dengan menetapkan paras harga minyak mentah Brent tertentu sebagai pencetus penilaian semula kadar subsidi bahan api, selain menyediakan bantuan tunai tambahan bersasar sekiranya harga minyak meningkat dengan ketara.
Beliau turut menggesa supaya penjimatan daripada penyasaran subsidi disalurkan semula kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan sosial lain, di samping memperkukuh disiplin fiskal serta pembangunan ekonomi sempadan Perlis, khususnya perdagangan dengan Thailand.
“Pembaharuan subsidi tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa sehingga membebankan golongan berupah rendah, petani, nelayan dan peniaga kecil,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula status sekolah pedalaman di Sarawak secara adil dan telus dengan mengambil kira cabaran sebenar dihadapi guru, termasuk pengangkutan, kemudahan asas, keselamatan dan kebajikan.
Beliau turut mencadangkan supaya status sekolah yang terlibat dalam cadangan perubahan kategori dikekalkan selama dua tahun sementara penilaian menyeluruh dilaksanakan, selain menaik taraf kategori sekolah yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai.
“Selain itu, KPM perlu menangani kekurangan bilik darjah, guru dan Pembantu Pengurusan Murid bagi Program Pendidikan Khas Integrasi) selain mempercepat audit keselamatan pendawaian elektrik sekolah dengan memberi keutamaan kepada premis yang mempunyai kerosakan kritikal,” katanya.
Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) pula meminta kerajaan menaik taraf dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong yang uzur serta menyediakan bilik darjah tambahan di Sekolah Kebangsaan Long Pasia bagi menampung keperluan murid yang menyambung pengajian ke peringkat menengah.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) menggesa KPM memperluas skop kontrak pengawal keselamatan sekolah bagi merangkumi tugas membantu murid melintas jalan di luar pagar sekolah, termasuk menyediakan perlindungan insurans bagi mengelakkan risiko dan tanggungan peribadi kepada pengawal.
Dalam pada itu, Datuk Ewon Benedick (GRS-Penampang) mencadangkan supaya peruntukan pembangunan Sabah disalurkan pada suku pertama dan proses perolehan diselesaikan selewat-lewatnya pada suku kedua bagi memastikan projek pembangunan dapat dimulakan dalam tahun semasa.
Beliau berkata pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu mengambil kira keperluan dan cabaran unik Sabah, termasuk tuntutan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, dengan memberi keutamaan kepada infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.
Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pula menggesa Kerajaan Persekutuan menyelesaikan krisis bekalan air yang menurutnya menjejaskan hampir 100,000 penduduk di wilayah itu.
Beliau turut mencadangkan peruntukan khas bagi pembelian enam lori tangki air berkapasiti 20,000 liter setiap satu sebagai langkah awal mengurangkan kesan gangguan bekalan yang boleh berlarutan sehingga 10 hari.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) mencadangkan kerajaan meningkatkan pengambilan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India dalam perkhidmatan awam bagi menangani ketidakseimbangan komposisi kaum.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA